Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Pasukan Petugas Khas (PPK) yang menyiasat kerugian forex yang ditanggung oleh Bank Negara Malaysia (BNM) tiga dekad lalu menghadapi kesukaran mendapatkan bukti daripada bank pusat itu akibat kekangan undang-undang, kata seorang pegawai.

"Banyak maklumat berkenaan dengan operasi perdagangan forex BNM tidak diperolehi oleh pasukan petugas (semasa prosiding) kerana mereka tidak dilengkapi dengan kuasa sah," kata pegawai yang mempunyai maklumat mengenai mesyuarat kabinet yang diadakan Rabu lalu.

Menurutnya, beberapa akta melarang bank pusat membekalkan dokumen tertentu kepada pasukan petugas yang dipengerusikan oleh mantan Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan.

"Justeru, pasukan petugas telah mencadangkan sebuah Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat kerugian forex itu," kata pegawai berkenaan kepada Malaysiakini.

Pasukan petugas itu, yang dibentuk empat bulan lalu, membuat cadangan tindakan susulan berhubung kerugian forex berkenaan, telah mengemukakan laporannya kepada kabinet pada 21 Jun.

Pada hari yang sama, Pejabat Perdana Menteri berkata laporan pasukan petugas mendapati wujud kes prima facie bagi kerugian BNM sekitar 1980-an dan 1990-an dan telah mencadangkan penubuhan RCI.

Pejabat Perdana Menteri juga berkata pasukan petugas juga menemui terdapat elemen menyembunyikan fakta sebenar kerugian dengan mengemukakan maklumat yang bertujuan mengelirukan jemaah menteri dan parlimen.

Mengulas lanjut, pegawai itu berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meminta anggota kabinet untuk menyatakan pendapat masing-masing pada mesyuarat kabinet pada Rabu lalu.

"Kabinet kemudian membuat kesimpulan bahawa seseorang harus bertanggungjawab ke atas kerugian forex itu, jika mahu seseorang bertanggung jawab, maka siasatan mendalam perlu dilakukan," katanya.

"Dan, terdapat kemungkinan cubaan menutup (skandal ini)," katanya,

"Namun, tidak ada nama yang disebutkan dalam mesyuarat kabinet".

Beliau berkata RCI yang dicadangkan oleh pasukan petugas khas dan diluluskan oleh kabinet itu, sepatutnya mempunyai kuasa sah untuk melihat dokumen BNM.

Isu itu dibangkitkan semula tahun ini apabila penyokong BN membandingkan skandal 1MDB dengan skandal forex, yang berlaku ketika Tun Dr Mahathir Mohamad adalah perdana menteri.

Mahathir, yang kini menerajui BERSATU, adalah pengkritik paling lantang 1MDB dan kerajaan.

Mahathir dalam temu bual bersama Channel News Asia yang diterbitkan semalam berkata bahawa beliau tidak terlibat dalam skandal forex itu.

Lihat Komen
ADS