Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Agak berbeza dengan kenyataan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, PAS hari ini mendakwa mereka belum menerima sebarang jemputan daripada gabungan pembangkang untuk merancang himpunan yang dijangka diadakan pada September ini.

Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, sepanjang pengetahuannya tidak ada sebarang surat diterima parti berkenaan setakat hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak menolak kemungkinan surat itu disampaikan melalui Pejabat Setiausaha Agung PAS.

"Secara peribadi saya tak ada maklumat berkenaan.

"Kami akan tengok dulu, saya akan tengok dan parti akan bincang dan buat keputusan," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Terdahulu beberapa parti pembangkang membentuk Jawatankuasa Bertindak 1MDB sebagai langkah mereka menangani isu saman sivil Jabatan Kehakiman (DOJ) AS terhadap beberapa aset didakwa diperolehi melalui salah guna dana 1MDB.

Jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Selain PKR, ia disertai DAP, Parti Amanah Negara, Parti Sosialis Malaysia dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

Setiausaha agung pun sama

Mereka juga bersetuju mengadakan himpunan Sayang Malaysia Hapuskan Kleptokrasi di tempat yang akan diputuskan kelak.

Dr Wan Azizah yang juga ketua pembangkang di parlimen menjelaskan langkah mengadakan perhimpunan itu menjadi cara mereka mendekati rakyat dengan isu 1MDB.

Ketiadaan wakil PAS dalam jawatankuasa itu mendapat perhatian media dan apabila ditanya, Dr Wan Azizah berkata, jemputan sudah diberikan kepada parti terbabit namun tidak ada sebarang maklum balas daripada mereka.

Tuan Ibrahim berkata, PAS akan meneliti terlebih dahulu butiran rancangan jawatankuasa bertindak berkenaan sebelum membuat keputusan lanjut.

"Secara peribadi saya nak tengok surat itu dulu, apa objektifnya," kata beliau.

Menurut Tuan Ibrahim, PAS mempunyai kaedah tersendiri dalam isu 1MDB walaupun kadang-kadang turut terlibat dengan demontrasi.

"Sebab banyak isu kalau kita nak tengok.

"Kita pun ada beberapa isu yang kita angkat sama ada bertemu dengan pihak berkenaan dan kemukakan pandangan-pandangan parti.

"Kalau nak komen saya kena tengok surat dulu dan parti akan buat keputusan," katanya.

PAS yang kini sudah tidak lagi berada dalam Pakatan Harapan dilihat mengambil haluan sendiri dalam memperjuangkan sesuatu isu, malah mereka tidak mengambil bahagian dalam perhimpunan BERSIH5 tahun lalu.

Sementara itu, Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan, ketika dihubungi berkata beliau juga belum menerima maklumat mengenai surat jemputan tersebut dan enggan mengulas lanjut mengenainya.

Lihat Komen
ADS