mk-logo
Berita
Sistem radar dalam transit lesap dari pelabuhan JB
Diterbitkan:  Jun 29, 2017 3:37 AM
Dikemaskini: 5:25 AM

Sistem peralatan radar tentera bernilai jutaan ringgit yang dalam transit ke Belanda dilaporkan telah hilang di pelabuhan Tanjung Pelepas di Johor.

Menurut akhbar The Star hari ini, barangan dalam transit dari Australia itu ditahan oleh Jabatan Kastam sementara menunggu dokumen yang diperlukan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut akhbar itu, peralatan ketenteraan berteknologi tinggi berkenaan tiba bulan lalu dalam satu kontena tanpa kelulusan yang diperlukan mengikut Akta Perdagangan Strategik 2010.

Peralatan radar berkenaan seharusnya mendapat permit khas dari MITI dan Jabatan Kastam untuk berlabuh di Pelabuhan Tanjung Pelepas sebelum boleh dibawa ke Belanda.

Adalah dilaporkan semakan audit yang dijalankan mendapati peralatan itu tidak lagi berada di pelabuhan, dan laporan polis kemudiannya dibuat.

"Pihak berkuasa tidak menolak kemungkinan bahawa barangan itu dimuatkan ke kapal lain dan dihantar terus ke Belanda secara rahsia untuk mengelakkan masalah lanjut," kata The Star yang memetik sumber.

Tambahnya, menurut pihak berkuasa, adalah sukar untuk mengalihkan peralatan itu melalui darat kerana “pemeriksaan ketat di pintu masuk dan keluar pelabuhan".

Sementara itu, portal Berita Harian Online memetik Ketua Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Datuk T Subromaniamsebagai berkata pihaknya, sedang menjalankan siasatan secara terperinci berhubung kemasukan peralatan radar tentera itu.

"Pihak Kastam sememangnya memerlukan permit dari MITI untuk membawa masuk peralatan radar berkenaan dan kita terpaksa menahan pergerakan radar itu apabila pihak yang membawanya gagal untuk mengemukakan sebarang permit.

"Setakat ini kita tidak menolak kemungkinan ada pihak tertentu yang memberikan kebenaran untuk membawa masuk radar berkenaan ke dalam kawasan pelabuhan dan kita sedang mengesannya," katanya.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut sama ada peralatan radar berkenaan hilang seperti yang dilaporkan, ataupun sudah dirampas oleh pegawainya di pelabuhan berkenaan untuk siasatan lanjut.

"Saya akan memberikan butiran lanjut berhubung kemasukan peralatan radar berkenaan dalam masa terdekat selepas siasatan selesai dijalankan.

"Setakat ini, saya tidak dapat memberikan butiran lanjut mengenai pihak yang bertanggungjawab membenarkan radar berkenaan dibawa masuk ke pelabuhan tanpa kebenaran," katanya.

[Baca berita penuh]

 

Nyatakan sokongan anda pada kewartawanan mapan

Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk melaporkan kebenaran. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini sebagai sumber kewartawanan berkualiti. Berjuta-juta orang bergantung kepada Malaysiakini untuk mempertahankan ketelusan dan keadilan.

Tanpa tauke untuk menentukan bentuk pemberitaan; bebas daripada pengaruh politik dan komersial, Malaysiakini hanya mempunyai satu sahaja bos - anda, rakyat.

Mengambil kesempatan ini, kami ingin mengucapkan terima kasih atas rasa cinta anda kepada tanah air serta kepercayaan yang diberikan untuk kami menggalas tugas ini - sebagai semak dan imbang kepada kekuasaan.

Kami bergantung kepada langganan anda untuk mempertahankan pendirian ini. Terima kasih.

Lihat Komen
Paling Popular
Terkini