Paling Popular
Terkini

ULASAN | Pagi Syawal ketiga. Kami berkumpul di ruang makan rumah Abah yang hanya penuh dan meriah pada hari-hari perayaan sebegini.

Sambil menggoreng bihun yang menjadi menu tradisi arwah Ma - dan tak jemu kami sambung sampai sekarang - kakak saya membebel tentang bekalan air yang tak sampai ke rumah.

Air di kolah yang disimpan ketika bekalan air masuk sekejap tengah malam semalam kini tinggal separuh. Mana mungkin kolah lebar sedepa, panjang dua depa dan tinggi semeter itu mampu menampung keperluan kami seharian sementara menunggu air masuk lagi tengah malam nanti.

Mana air nak buat masak, mana air nak makan minum, mana air nak basuh pinggan mangkuk, mana air nak basuh berak kencing, mana air nak mandi.

Itu belum sebut lagi air nak dibuat membasuh pakaian.

"Sepanjang bulan puasa, lebih dari setengah bulan kami berbuka dan bersahur guna pinggan dan cawan pakai buang saja," kata Abah. "Kalau tak, pukul 2 pagi kenalah bangun membasuh pinggan mangkuk. Masa tu saja air laju masuk," sambung Umie Yani.

"Masalah lama ni, dah bertahun-tahun. Tulis pun bukannya boleh selesai. Pasal jambatan Setelu aku dah pernah tulis, tak siap-siap juga," kataku memberi alasan.

Pong pang pong pang, bermacam idea diberikan tentang apa yang perlu ditulis, kepada siapa perlu kami adukan, cadangan-cadangan penyelesaian, kutuk mengutuk dan bermacam lagi.

Senyap-senyap abang saya menulis sesuatu di dinding Facebook Tok Pa (Datuk Seri Mustapha Mohamad), Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri yang juga merupakan ahli parlimen kawasan kami, Jeli.

Kebetulan, hari itu Tok Pa dijadualkan ada rumah terbuka Aidilfitri di kediamannya di Darul Falah, dekat Kemahang - kira-kira 40 minit perjalanan dari rumah kami.

"Kita rempuh saja rumah terbuka Tok Pa hari ini, kita adukan terus ke muka beliau," saya memberi cadangan nakal yang tentunya tidak bersungguh.

Pekerja AKSB datang

Sebagai pembenci Umno, saya tidak pernah berniat untuk menjejakkan kaki ke mana-mana rumah terbuka mereka. Tak kiralah Najib Razak, Tok Pa atau Haji Abdul Hadi Awang.

Dipendekkan cerita. Senyap-senyap saya menulis surat terbuka ringkas di Facebook saya - ditujukan kepada Menteri Besar Kelantan, pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), ahli parlimen Jeli, anggota Dewan Undangan Negeri Kuala Balah dan parti-parti politik.

Mesej yang sama saya majukan juga ke dua kumpulan sembang WhatsApp yang saya ada. Itu saja yang saya buat.

Alangkah terkejutnya senja itu, ketika berziarah ke rumah jiran, kami dimaklumkan bahawa rumah mereka telah didatangi pekerja AKSB yang memeriksa bekalan air. Rumah kami tidak pula didatangi.

Malamnya seorang pekerja AKSB menghantar mesej peribadi kepada saya mengatakan tindakan awal telah diambil oleh mereka dengan melawat kawasan aduan. Dan langkah penyelesaian akan dilaksanakan seawal keesokan hari.

Dan benarlah. Rumah Abah tidak lagi kekeringan hari ini. Air keluar dari pili mencurah-curah. Masalah selesai hanya selepas sehari kami cuba menularkan isu itu, setelah kami menerima seadanya masalah itu selama bertahun-tahun.

Pelbagai andaian boleh dibuat. Mungkin masalah boleh selesai lebih awal jika kami membuat aduan terus kepada AKSB. Mungkin juga tidak siapa akan melayan aduan kami jika ia tidak menjadi "tular", tidak ditujukan kepada orang-orang politik yang punya kuasa.

Apapun, penghargaan tetap perlu diberikan kepada kakitangan AKSB Jeli yang mengambil tindakan pantas setelah aduan sampai kepada mereka - entah melalui saluran mana.

Syurga di Bumi

Mungkin Facebook, mungkin WhatsApp. Apa yang kita tahu, media sosial sememangnya menjadi medium yang makin popular untuk orang ramai membuat aduan atau sekadar melepas geram.

Efektif atau tidak, perkara kedua. Tapi ia seolah-olah telah menjadi pilihan pertama untuk penyelesaian kepada semua masalah manusia.

Alangkah indahnya kehidupan kita jika semua agensi dalam masyarakat berfungsi seperti yang sepatutnya. Kita tidak perlukan ahli politik sebagai penyelesai semua masalah.

Masalah air tidak perlu campur tangan orang politik. Cukup pengadu berurusan dengan penyedia perkhidmatan. Masalah talian telekomunikasi tidak perlu campur tangan "orang-orang penting". Cukup pengguna berurusan dengan penyedia perkhidmatan.

Jambatan yang tak siap-siap tidak perlu dilengah-lengahkan seolah-olah menunggu musim pilihan raya untuk menangguk keuntungan maksimum. Cukup dengan kesedaran kerajaan akan tanggung jawab mereka memakmurkan negeri dan negara.

Bendera-bendera parti politik tidak kira BN, PAS atau Pakatan Harapan telah berkibaran di sepanjang jalan-jalan utama di Kelantan ini. Ia mungkin jauh lebih banyak daripada di negeri-negeri lain pada masa ini.

Tapi itu hanyalah halwa mata, memuaskan nafsu parti-parti politik untuk menunjukkan kekuatan masing-masing. Permasalahan utama rakyat tidak juga cuba diselami sepenuhnya.

Berapa banyak rumah yang bekalan airnya putus-putus seperti di rumah kami di seluruh Kelantan ini, walaupun hakikatnya air dicincang tidak akan putus.

Masalah pengurusan sampah di seluruh negeri - mustahil tiada jalan penyelesaian oleh negeri Kelantan yang telah menghasilkan ramai bijak pandai, berkerusi empuk di menara gading di seluruh negara sampai ke Sintok?

M Quraish Shihab dalam khutbah Aidilfitrinya menyebut bahawa umat manusia bukan saja perlu rindu untuk ke syurga, tapi perlulah cuba sedaya upaya untuk mewujudkan bayang-bayang syurga di Bumi ini.

Hari raya yang meriah, damai dan saling bermaafan, sedondon dan penuh warna-warni - itulah bayang-bayang syurga. Benci-membenci, marah-marah, fitnah dan adu domba - itulah bayang-bayang neraka.

Semua ahli masyarakat, daripada kerajaan, parti politik, wakil-wakil rakyat, agensi-agensi kerajaan, syarikat-syarikat swasta, rakyat jelata, dan diri sendiri - termasuk saya - perlulah berusaha ke arah itu, yakni menjadikan bumi sebagai bayang-bayang syurga.

Itu tugas semua orang baik-baik (dan bakal orang baik-baik) di seluruh muka bumi, tak kira orang luar atau dalam.

Mengulang seruan Sheikh Bin Bayyah: "Bersatulah orang baik-baik seluruh dunia".

Teruskan aktiviti berswafoto dan berkongsi yang indah-indah. Kerana itu yang saya akan lakukan hari ini. Selamat hari raya, maaf zahir dan batin.


NAJMUDDIN YUSOFF seorang pengurus projek telekomunikasi yang gemar memerhati keletah politik negara, serta penggiat sastera.

Rencana ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS