Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pelbagai pihak bantah longgarkan syarat lulus bahasa Melayu
Diterbitkan:  Jul 3, 2017 3:57 PM
Dikemaskini: 9:04 AM

Pelbagai pihak hari ini terus tampil dan membantah keputusan Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat kelulusan bahasa Melayu Peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi jawatan Pegawai Perubatan yang dilantik secara kontrak.

Menurut Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan wajib didaulatkan dalam semua bidang ilmu dan amalan profesional di negara ini terutama dalam konteks perlantikan penjawat awam.

Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, Prof Datuk Seri Dr Md Salleh Yaapar, berkata beliau membantah keras langkah Kementerian Kesihatan melonggarkan syarat lulus bahasa Melayu itu.

"Syarat lulus bahasa Melayu perlu meliputi semua peringkat perjawatan tanpa mengira sama ada kontrak, sementara atau tetap.

"Apatah lagi jika perubatan bidang kritikal yang banyak membabitkan komunikasi lisan dengan pesakit, manakala salah faham bahasa boleh membawa maut kepada pesakit terutama di luar bandar," katanya yang dipetik portal Berita Harian Online.

Beliau turut menyifatkan langkah Kementerian Kesihatan itu sebagai tindakan secara sengaja untuk menyingkirkan bahasa Melayu dari kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan yang dijamin haknya oleh Artikel 152 Perlembagaan.

"Jika tindakan Kementerian Kesihatan ini dibiarkan, ia akan segera disusuli oleh pelbagai pihak lain yang akhirnya menyaksikan tersungkurnya bahasa Melayu.

"Dalam sejarah dunia tidak ada bangsa yang bermaruah yang dengan mudah saja membiarkan bahasa kebangsaan sendiri diperkotak-katikkan," katanya.

Turut membantah adalah Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM).

Setiausaha Agungnya Muhammad Faisal Abdul Aziz berkata Perkara 152 (6) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa maksud 'rasmi' adalah apa-apa maksud kerajaan, sama ada Persekutuan atau Negeri, dan termasuklah sesuatu pihak berkuasa.

"Justeru, menjadi tanggungjawab kerajaan menerusi kementerian-kementerian untuk sentiasa mengangkat, memartabat serta memelihara Bahasa Melayu termasuklah melaksanakan syarat-syarat tertentu seperti syarat lulus BM mengikut standard tertentu untuk penyerapan sebagai kakitangan di mana-mana jabatan kerajaan sama ada secara tetap mahupun kontrak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata semua pihak harus berusaha menjiwai, menghayati serta mengamalkan nilai yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan terutama apabila melibatkan urusan rasmi kerajaan yang merangkumi isu perkhidmatan dan perjawatan, silibus pendidikan di sekolah kebangsaan serta urusan rasmi lain.

"ABIM berpandangan sekiranya pihak Kementerian Kesihatan masih ingin meneruskan cadangan kelonggaran tersebut, ia pasti akan membuka ruang untuk segolongan dalam masyarakat membelakangkan Bahasa Melayu dan peruntukan-peruntukan lain dalam Perlembagaan Persekutuan," katanya.

ABIM turut menyarankan pihak yang terlibat untuk menyediakan mekanisme khusus yang memudahkan pengambilan peperiksaan subjek BM termasuk penyeragaman waktu peperiksaan dan keizinan mengambil subjek BM sebagai subjek tunggal SPM (untuk calon yang bukan daripada aliran peperiksaan SPM).

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam berkata Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) telah memberi persetujuan untuk kelonggaran syarat itu pada 23 Feb lalu untuk pelantikan secara kontrak ke jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 di Kementerian Kesihatan.

Dr Noor Hisham (foto, kanan) menjelaskan kelonggaran syarat kelayakan Lulus BM itu adalah bagi memudahkan pelantikan secara kontrak jawatan Pegawai Perubatan Gred UD41 bagi graduan perubatan yang tidak menduduki peperiksaan BM di peringkat SPM atas pelbagai sebab.

Turut membuat bantahanhari ini adalah Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor.

Presidennya, Datuk Abdul Rahman Yunus berkata, tindakan tersebut seolah-olah mencabul kedaulatan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan seperti yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1961.

"Tindakan yang mendapat persetujuan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk mengetepikan syarat kelulusan bahasa Melayu dalam SPM semata-mata memberi kelonggaran kepada lantikan jawatan Pegawai Perubatan secara kontrak adalah tidak wajar sama sekali.

"Langkah ini menunjukkan betapa mereka tidak peka soal Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan merupakan bahasa rasmi Persekutuan selaras dengan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67," katanya yang dipetik Utusan Malaysia.

Berita Harian Online turut melaporklan kebimbangan Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) dengan keputusan Kementerian Kesihatan itu yang bakal membuka ruang pihak lain membuat tuntutan yang sama.

Presidennya, Eqwan Roslan, berkata pihaknya bimbang kelonggaran itu bakal membuka ruang tuntutan lebih besar seperti penerimaan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) yang dikendalikan Persatuan Lembaga Pengurus Sekolah Cina Malaysia (Dong Zong).

"Kami melihat kelonggaran ini sebagai tindakan tidak wajar dan bertentangan dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan (DPK) yang mewajibkan kepujian BM bertujuan mengukuhkan keharmonian kaum dan perpaduan nasional menerusi penguasaan dalam bahasa kebangsaan.

"Dasar ini digubal bagi mengukuhkan perpaduan nasional dengan meletakkan syarat kepujian dalam BM yang diamalkan sejak sekian lama sepatutnya dipertahankan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Kelab Umno Luar Negara melihat dasar terbaru Kementerian Kesihatan itu tidak mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

“Kita nampak polisi ini akan mendatangkan masalah yang lebih besar di peringkat nasional. Tak mustahil rakyat Malaysia tidak peduli lagi bahasa Melayu,” kata pengerusinya Wan Md Hazlin Agyl Wan Hassan,

“Di manakah kita dalam membina bangsa Malaysia? Kita sedang fokus membina bangsa Malaysia, jika ini polisi KKM saya rasa ia tidak selaras dengan pembinaan bangsa Malaysia.”

Dalam sidang media di ibu negara hari ini, Hazlin menuntut perkara itu dibentangkan kepada kabinet.

Lihat Komen
ADS