Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pengecualian kelayakan BM: Apa isu sebenarnya?
Diterbitkan:  Jul 4, 2017 9:00 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

PANDUAN BERITA Pengecualian syarat lulus Bahasa Melayu (BM) dalam SPM untuk mengisi jawatan kontrak pegawai perubatan di Kementerian Kesihatan (KKM) mencetuskan bantahan pelbagai pihak, termasuk badan bahasa, NGO dan parti-parti politik.

Kementerian bagaimanapun mempertahankan langkah itu, sekali gus terus memanaskan isu itu.

Bagaimanapun, apa sebenarnya maksud di sebalik langkah terbaru ini? Malaysiakini cuba menyingkap dan menyelak isu ini satu persatu.

Apa sebenarnya pengecualian ini?

Jabatan Perkhidmatan Awam, atas permintaan Kementerin Kesihatan, mengecualikan kelayakan BM untuk graduan perubatan yang memohon untuk menjalani latihan di hospital sebelum berkhidmat.

Pengecualian ini bagaimanapun hanya untuk tempoh kontrak dua tahun latihan, diikuti dua tahun khidmat di perkhidmatan awam yang disyaratkan.

Bagaimanapun, graduan ini tidak boleh diserap ke jawatan tetap di perkhidmatan awam selagi tidak memperoleh kelayakan BM dalam SPM.

Kenapa ada pengecualian ini?

Menurut kementerian, ia diperkenalkan bagi membantu graduan yang tidak menduduki SPM tetapi mempunyai kelayakan O Level.

Ini disebabkan mereka mengikuti pendidikan menengah di luar negara atau memasuki seolah antarabangsa di Malaysia, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Kenapa perkara ini berlaku?

Sehingga tahun lepas, kelayakan BM O Levels diterima menggantikan SPM.

Bolehkan graduan perubatan ambil BM saja dalam SPM?

Mereka harus turut mengambil lima mata pelajaran teras untuk SPM, termasuk Bahasa Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah, dan Pengajian Islam/Moral. Mereka hanya akan mendapat sijil SPM jika lulus BM dan Sejarah.

Dengan segala masalah ini, kenapa bersusah payah mahu masuk hospital kerajaan?

Akta Perubatan 1971 menetapkan graduan perubatan harus menjalani latihan dua tahun di hospital sebelum layak menjadi pegawai perubatan. Mereka juga harus berkhidmat wajib dua tahun dalam perkhidmatan awam.

Susulan pengumuman pada Oktober 2016, graduan perubatan kini digajikan secara kontrak ketika latihan dua tahun, diikuti oleh dua tahun lagi khidmat wajib di hospital kerajaan.

Pihak yang gagal memenuhi syarat ini tidak akan dibenarkan beramal di Malaysia.

Berapa ramai graduan yang terjejas?

Dilaporkan ia melibatkan kira-kira 300 orang graduan.

Adakah kementerian baru pertama kali mengecualikan kelayakan BM ini?

Tidak, pengecualian sama telah diberikan kepada pegawai perubatan bagi memenuhi kekurangan kakitangan dalam perkhidmatan awam. Pendekatan ini kemudian dibatalkan setelah masalah itu dapat diatasi.

Sementara itu, pegawai perubatan asing dan pakar tidak perlu memenuhi kelayakan ini.

Kenapa ada yang tidak puas hati?

Pengkritik melihat langkah itu memperkecilkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi. Ia juga dilihat pilih bulu kerana kesemua penjawat awam tertakluk kepada kelayakan lulus BM.

Langkah itu juga didakwa boleh mewujudkan keadaan salah diagnosa pesakit dan terus memburukkan masalah kekurangan tempat untuk latihan di hospital.

Apa seterusnya?

Menteri Kesihatan Datuk Seri S Subramaniam dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Jabatan Perkhidmatan Awam Datuk Joseph Entulu diarah menjelaskan perkara itu kepada mesyuarat kabinet esok.

Kementerian Kesihatan juga berkata akan berbincang dengan Kementerian Pendidikan dan Lembaga Peperiksaan Malaysia untuk membenarkan graduan perubatan yang mempunyai O Level mengambil SPM untuk mata pelajaran BM sahaja.

Lihat Komen
ADS