Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pakar cadang ujian kecekapan BM untuk doktor kontrak

Pewujudan ujian kecekapan Bahasa Malaysia (BM) berpotensi dapat menyelesaikan kontroversi semasa melibatkan pengambilan doktor yang tidak memiliki kelayakan peringkat SPM untuk bahasa tersebut.

Ribuan rakyat Malaysia menduduki Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Asing (Toefl) atau Sistem Ujian Bahasa Inggeris Antarabangsa (Ielts) setiap tahun dan tiba masanya Malaysia mewujudkan sesuatu yang serupa untuk BM, kata beberapa orang pakar dasar.

"Sekiranya perlu diukur secara formal, maka apa yang kita perlukan adalah sijil kecekapan profesional dalam BM yang boleh diambil oleh siapa saja pada bila-bila masa," kata ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Idea), Wan Saiful Wan Jan kepada Malaysiakini.

Kewujudan sijil sedemikian akan membolehkan mereka dari mana-mana profesion mengambil ujian itu, jika mereka mahu bekerja di Malaysia, tambah Wan Saiful.

"Kenapa tidak Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) mewujudkan ujian kecekapan profesional tersebut? Itu akan membantu menjadikan BM bahasa yang dipelajari dan ditutur oleh para profesional dari semua latar belakang."

Baru-baru ini, Kementerian Kesihatan menjadi sasaran ahli-ahli politik kerana meminta Jabatan Perkhidmatan Awam melonggarkan keperluan kelulusan Bahasa Malaysia dalam SPM untuk hospital awam merekrut doktor yang tidak melalui sistem persekolahan nasional.

Tanpa kelonggaran tersebut, satu-satunya cara pelajar perubatan kelahiran Malaysia yang mendapat pendidikan sepenuhnya di luar negara dan ingin bertugas di Malaysia ialah dengan menduduki peperiksaan SPM yang melibatkan enam mata pelajaran - BM, Inggeris, Matematik, Sains, Sejarah dan Pengajian Islam / Moral - untuk memenuhi keperluan BM peringkat SPM.

Pada asasnya, ini bermakna mereka perlu mengulangi pendidikan sekolah menengah.

Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Ramon Navaratnam (gambar) menyifatkan sistem tersebut sebagai tidak munasabah.

"Tidak perlu lagi mengambil peperiksaan Sejarah, Matematik dan Sains. Mereka bukan pelajar sekolah.

"Jangan menghukum mereka dengan meminta mereka kembali ke sekolah," kata Ramon.

Beliau percaya bahawa jika sistem yang dicadangkan itu dilaksanakan, ia akan mengakibatkan Malaysia kehilangan doktor kepada negara lain.

"Maka, anda mungkin mengalami penurunan kualiti doktor di negara ini dan bukan saja doktor yang akan pergi ke luar negara, pesakit pun akan pergi ke luar negara," kata Ramon, yang kini mengetuai Pusat Pengajian Dasar Awam di Institut Kepimpinan dan Strategi Asia (ASLI).

Wan Saiful percaya kontroversi itu ditimbulkan tanpa mengambil kira isu sebenar: Memastikan negara mempunyai secukupnya profesional perubatan yang berkelayakan.

"Tidak kira bahasa apa yang dituturkan oleh doktor, asalkanmereka dapat merawat pesakit dengan baik.

"Oleh itu, ini tidak ada kaitan dengan (lulus) BM di peringkat SPM. Ini lebih lanjut mengenai kebolehan mereka berkomunikasi sebagai profesional perubatan.

"Selagi ini dapat dipastikan, maka tidak kira apa kelayakan seseorang itu dalam subjek bukan perubatan," tambah Wan Saiful.

Sebaliknya, Steven Wong, timbalan ketua eksekutif Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (Isis), pula berkata mana-mana doktor yang ingin menjadi pengamal di Malaysia perlu sekurang-kurangnya mempunyai yang setara dengan kredit dalam peperiksaan BM peringkat SPM.

"BM sangat penting jika anda hendak bertugas di Malaysia Jika anda tidak bekerja di Malaysia, maka anda tidak perlu bimbang tentang apa-apa.

"Saya fikir mereka yang belajar di dalam negara dan akan mengamalkannya di sini, harus dapat berinteraksi dengan pesakit mereka," katanya sambil menambah sekurang-kurangnya mereka boleh berinteraksi dengan pesakit mereka.

Bagaimanapun, Wong percaya bahawa ia "agak tidak munasabah" untuk doktor kontrak mengambil peperiksaan SPM untuk lima mata pelajaran lain, selain BM.

"Mereka sudah melepasi tahap itu. Mereka tentunya telah mengambil subjek-subjek yang diluluskan oleh Kementerian Pendidikan jika mereka belajar di sini," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS