Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
ROS arah DAP buat pemilihan semula
Diterbitkan:  Jul 7, 2017 5:35 PM
Dikemaskini: 10:50 AM

DAP dikehendaki mengadakan semula pemilihan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) baru.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) Datuk Mohammad Razin Abdullah, berkata arahan itu dibuat ekoran pelantikan anggota CEC dan pemegang jawatan utama parti berkenaan pada 29 September 2013 dianggap tidak sah.

Kata Mohammad Razin, beliau mengadakan pertemuan dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Dalam Negeri Datuk Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ahmad Zahid kemudian menyarankan supaya apa juga tindakan yang diambil oleh ROS hendaklah berlandaskan Akta Pertubuhan 1966 dan perlembagaan DAP.

"Ingin ditegaskan di sini bahawa ROS menganggap DAP sebagai sebuah parti yang sah di sisi undang-undang dan setakat ini ROS tidak berniat sama sekali untuk membatalkan (pendaftaran) DAP," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohammad Razin ROS berpendapat pelantikan anggota CEC serta pemegang jawatan utama hasil pemilihan pada 2013 adalah tidak sah.

Tak puas hati

"Pemilihan semula yang diadakan tersebut sepatutnya berdasarkan senarai nama perwakilan yang berhak hadir dan mengundi pada pemilihan CEC bertarikh 15 Disember 2012, iaitu melibatkan 2576 perwakilan dari 865 buah cawangan.

"Justeru, ROS mengambil pendirian supaya DAP perlu mengadakan pemilihan semula CEC baru yang sah dan telus bagi membolehkan perwakilan memilih 20 orang anggota CEC diiktiraf.

"Hanya anggota CEC yang sah dan diiktiraf sahaja boleh melantik pemegang jawatan utama yang sah dan diiktiraf mengikut Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP," katanya.

DAP mengadakan pemilihan pada 15 Disember 2012 tetapi berlaku kesilapan teknikal sehingga menjejaskan keputusannya.

Parti itu kemudian secara sukarela mengadakan pemilihan semula pada 29 September 2013, namun sebahagian daripada anggota parti tidak berpuas hati kerana mendakwa belaku kepincangan.

Mereka kemudian membuat aduan kepada ROS.

Tunggu surat rasmi

Jika DAP mematuhi arahan yang dikeluarkan ROS hari ini, parti itu akan mengadakan pemilihan kali ketiga untuk jawatan bagi tempoh 2013 hingga 2016.

Mandat anggota CEC dan pemimpin lain parti itu berakhir pada September lalu namun perlembagaan DAP membenarkan pemilihan ditunda sehingga 18 bulan.

Mohammad Razin menjelaskan, pemilihan semula itu penting kerana pelantikan bagi jawatan utama sesebuah parti memberi kesan kepada kesahihan urusan pertubuhan berkenaan.

Katanya, penyandang jawatan utama mempunyai kuasa untuk menandatangani watikah pelantikan calon untuk mewakili parti dalam pilihan raya yang diiktiraf Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"ROS akan mengeluarkan arahan kepada DAP supaya mengadakan pemilihan semula 20 anggota baru yang sah berpandukan Akta Pertubuhan 1966 dan Perlembagaan DAP bagi membolehkan ia diiktiraf," katanya.

Sementara itu Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo berkata beliau sudah dimaklumkan mengenai keputusan berkenaan namun belum menerima surat rasmi daripada ROS.

"Saya harap ROS akan menulis surat secara rasmi supaya kami boleh melihat isu itu sebelum membuat keputusan lanjut.

"Ada ramai rang bercakap macam-macam, jadi saya fikir lebih baik untuk saya melihat surat itu terlebih dulu dan membincangkannya sebelum membuat tindakan lanjut," katanya kepada Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS