Pemimpin dahulu punca masalah MAS

       

Datuk Seri Najib Razak menyalahkan pemimpin sebelum beliau atas pelbagai keputusan "dahsyat" (horrendous) yang menjejaskan syarikat penerbangan negara, Malaysia Airlines (MAS).

Dalam ucapannya di majlis sambutan Aidilfitri di Sepang hari ini perdana menteri memberitahu, MAS melalui banyak tempoh sukar sebelum ini.

"Saya boleh katakan, sejarah MAS penuh keputusan dahsyat pada masa lalu.

"Saya tidak akan bercakap mengenainya tetapi ia adalah mimpi ngeri yang dilakukan ke atas MAS oleh salah satu pemimpin sebelum saya.

"Tetapi saya akan betulkan. Saya akan pastikan MAS pulih dan menjadi syarikat penerbangan terkemuka di dunia," kata Najib disambut tepukan daripada ribuan penonton yang hadir pada majlis itu.

Walaupun perdana menteri tidak memetik sebarang nama dalam kenyataannya, adalah jelas beliau merujuk kepada Tun Dr Mahathir Mohamad - seorang pemimpin yang kini menjadi antara pengkritik paling tegar kerajaan.

MAS mula mengalami kerugian pada 1990-an selepas Dr Mahathir menswastakan syarikat berkenaan. Ia menyaksikan bekas pengerusinya Tan Sri Tajudin Ramli membuat pinjaman RM1.79 bilion pada 1994 bagi membeli 32 peratus pegangan saham MAS.

Beliau menjual pegangannya dalam MAS kepada pada 1997 pada harga RM1.79 bilion ketika Asia berdepan krisis kewangan.

Sejak itu MAS melakukan tiga proses pemulihan perniagaan dengan kos ditanggung kerajaan dianggarkan hampir RM20 bilion.

Sementara itu dalam usaha memastikan MAS benar-benar menjadi syarikat penerbangan terbaik dunia, Najib berkata, alasan itu yang mendorong beliau memutuskan untuk memberi bayaran saguhati kepada pekerja sebelum hari raya baru-baru ini.

"Kita berbincang dengan lembaga Khazanah (Nasional Berhad) [...] Saya bersetuju kita perlu bayar (saguhati) kerana saya percaya anda semua berhak mendapatnya," kata Najib yang sekali lagi mendapat tepukan gemuruh.

[Baca berita penuh]

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda