Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah mengeluarkan arahan menghadkan lokasi dapur jalanan hanya di tiga kawasan di bandar: Anjung Singgah, Pusat Khidmat Gelandangan dan Pusat Transit Gelandangan.
Langkah itu berkaitan dengan soal kebersihan dan rutin penyajian makanan yang tidak konsisten oleh kumpulan dapur jalanan yang berlainan.
Menurut satu laporan pada 2014, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan berkata garis panduan itu tidak melibatkan dapur jalanan yang dikendalikan dari premis seperti rumah ibadat dan kedai makan.
Bercakap kepada Malaysiakini semalam, penyelaras Dapur Jalanan Soup Kitchen, Quratulain Atiqah, 26, berkata beliau tahu mengenai arahan tersebut.
"Ini mungkin inisiatif DBKL untuk memastikan jalan bersih," katanya.
Bagaimanapun, tegasnya, mereka di Dapur Jalanan Soup Kitchen menggunakan peralatan yang boleh diguna semula.
Oleh itu, tambahnya, mereka tidak nampak sebab mengapa kebersihan harus menjadi isu di pihak mereka.
Dapur Jalanan Soup Kitchen menyajikan makanan kepada golongan gelandangan pada hari Ahad, di Jalan Panggong di Kuala Lumpur.
"Kami akan terus melayani golongan yang memerlukan di tempat biasa kami," katanya ketika ditanya sama ada arahan baru itu akan menjejaskan perkhidmatan dapur jalanan mereka.
Bagaimanapun, pengendali dapur jalanan yang lain mempunyai pandangan yang berbeza.
Antaranya ialah Justin Cheah, pengarah projek Kechara Soup Kitchen Society Malaysia (KSK).
KSK telah beroperasi di negara ini sejak tahun 2006 dan juga menyediakan bantuan lain kepada golongan yang memerlukan dan tidak mempunyai rumah.
"Ini merupakan topik perbincangan terpanjang dan saya sendiri telah menghadiri beberapa mesyuarat dengan DBKL dan telah dikemaskini mengenai topik ini," kata Cheah.
Beliau menjelaskan bahawa (NGO) seperti KSK diwujudkan untuk bekerjasama dengan kementerian dan bahawa "langkah ke hadapan" ini pastinya membantu untuk memfokuskan semula skim penyediaan makan tersebut.
Ditanya mengenai kesan arahan itu terhadap dapur jalanan KSK, Cheah berkata satu-satunya kesulitannya ialah untuk memaklumkan kepada pelanggan tentang perubahan tersebut.
"Keterbatasan ini kepada tiga lokasi diharap akan memberi kami lebih banyak masa untuk bersama dengan pelanggan kami, kerana ia bukan hanya setakat memberi mereka makanan, tetapi juga kami meluangkan masa bersama mereka," katanya.
Pengasas bersama "Projek Nasi Lemak", Mastura M Rashid, 27, juga sependapat dengan Cheah.
Mastura bersetuju dengan arahan DBKL itu, dengan berkata beliau mendapati semakin meningkatkan pembaziran makanan.
"Satu-satunya kebimbangan saya ialah 'kelas jalanan' yang juga diadakan untuk golongan gelandangan di lain-lain lokasi, yang biasanya disertai dengan makanan, mungkin terjejas jika arahan ini dilaksanakan."
Beliau juga berkata "Projek Nasi Lemak" tidak akan terjejas dengan arahan itu kerana mereka telah berhenti menyajikan makanan untuk golongan gelandangan sejak Februari 2016.
Mastura berkata kumpulannya kini terlibat dalam projek lain yang melibatkan pendidikan, serta projek untuk mengurangkan kemiskinan di kawasan luar bandar.
Daripada menyediakan makanan percuma, jelas beliau, pihaknya mahu mengambil inisiatif untuk memperkasakan golongan miskin, supaya mereka akhirnya dapat dengan mudah menanggung diri mereka sendiri.
