Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafizi: Kemusnahan di Felda bukan semata-mata rasuah
Diterbitkan:  Jul 12, 2017 5:59 PM
Dikemaskini: 10:02 AM

Jaminan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad bahawa pihaknya tidak akan melindungi sesiapa pun kakitangan dan pengurusan yang terbabit dengan rasuah tidak mempunyai makna apabila syarika itu mengambil hutang baru sebanyak RM2.12 bilion untuk membiayai pembelian saham PT Eagle High, kata Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Sebeum ini, Shahrir dilaporkan mengalu-alukan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia ke atas Felda dan berjanji tidak akan melindungi mana-mana pihak yang melakukan kesalahan.

“Jangan dengan hanya mengalu-alukan siasatan ke atas ikan-ikan bilis di kalangan kakitangan Felda; itu dikira cukup untuk menutup peninggalan beliau yang sewajarnya diingati seperti mana rakyat mengingati peninggalan Tan Sri Isa Samad kepada Felda juga.

“Kedua-dua mereka bertanggungjawab membiarkan Felda terjebak di dalam urusniaga berbilion ringgit yang menyebabkan hutang Felda mula membawa kesan kepada peneroka Felda,” kata Rafizi dalam satu kenyataan.

Walaupun Felda belum mengesahkan akan membuat pinjaman untuk membeli kepentingan dalam syarikat perladangan di Indonesia itu, Rafizi berkata ini "sudah hampir pasti" memandangkan Felda tidak mempunyai sumber kewangan dalaman yang mencukupi.

“Keputusan untuk terus berhutang dalam keadaan kedudukan kewangan Felda sudah pun parah itu tidak sekali-kali disiasat oleh SPRM kerana ia tidak dikira sebagai rasuah; sebaliknya hanyalah satu keputusan pengurusan yang merugikan.

“Sebab itu saya ingin menasihati Tan Sri Shahrir Samad supaya menginsafi hakikat bahawa beliaulah yang memimpin Felda tatkala Felda membayar sejumlah harga yang begitu tinggi untuk membeli saham-saham syarikat perladangan milik sahabat Datuk Seri Najib Razak,” katanya.

Eagle High Plantation dimiliki oleh pemilik Kumpulan Rajawali, Tan Sri Peter Sondakh, yang dilaporkan bertindak sebagai penasihat kepada Najib mengenai hal-hal berkaitan dengan Indonesia.

Felda membeli kepentingan 37 peratus dalam firma tersebut pada bulan April lalu.

Perkara itu mencuri tumpuan buat pertama kali selepas pengerusi CIMB yang juga adalah adik kandung Najib, Datuk Seri Nazir Razak memberi amaran bahawa Felda membayar terlalu tinggi.

Lihat Komen
ADS