Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
DBKL rampas 550 unit PPR, perumahan awam
Diterbitkan:  Jul 13, 2017 5:21 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah merampas 550 daripada 45,000 unit rumah yang disewakan di bawah Projek Perumahan Rakyat  (PPR) dan Perumahan  Awam  (PA)  sejak Januari lepas berikutan perlanggaran beberapa syarat,  kata  Menteri  Wilayah  Persekutuan  Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau berkata  tindakan yang dilakukan menerusi Operasi Pemutihan Perumahan DBKL itu bertujuan memastikan unit-unit PPR yang disewakan tidak disalah guna penyewa asal seperti tidak menetap dan menyewakan kepada pihak ketiga atau warga asing.

"Berikutan permintaan terhadap rumah sewa tinggi, ada penyewa asal mengambil kesempatan dengan mengenakan sewa yang tinggi kepada pihak ketiga. Saya minta janganlah ambil kesempatan di atas kesempitan orang lain.

 Bila masalah ini berlaku, kami tidak akan bertolak ansur dan surat perjanjian sewaan mereka terus dibatalkan serta merta. Cara ini kita boleh beri ruang kepada 80,000 rakyat yang masih menunggu untuk menyewa, yang rata-ratanya terdiri daripada golongan tidak berkemampuan," katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Ikrar Bebas Rasuah (IBR) DBKL bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di ibunegara hari ini.

Terdahulu, Tengku Adnan dan Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Dzulkifli Ahmad menyaksikan majlis menandatangani serta melafaz ikrar yang diketuai oleh Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz.

Tengku Adnan berkata majlis yang sama akan diadakan di Putrajaya dan Labuan supaya warga kerja dapat membudayakan sikap integriti dan bebas rasuah dalam melaksanakan tugas.

Sementara itu, Dzulkifli berkata setakat ini, 223 agensi di seluruh negara mengambil bahagian dalam IBR dan berharap lebih banyak agensi dan pihak berkuasa tempatan (PBT) membantu menjadikan negara ini bebas rasuah menjelang 2020.

"Selain agensi-agensi yang dekat dengan rakyat, SPRM turut memberikan penekanan kepada PBT supaya mereka dapat memberikan perkhidmatan yang baik dan telus kepada rakyat serta mengelak daripada salah guna kuasa," katanya.

Dzulkifli berkata IBR membuktikan usaha membanteras dan memerangi rasuah bukan hanya tanggungjawab SPRM sahaja sebaliknya merupakan amanah yang perlu dikongsi oleh seluruh masyarakat terutama dalam kalangan warga yang berkhidmat dengan agensi kerajaan.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS