Paling Popular
Terkini

Majlis Peguam berpendapat pindaan dilakukan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan terhadap Rang Undang-Undang Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 adalah bercanggah dengan perlembagaan negara.

Pengerusi Jawatankuasa Undang-undang Syariah Majlis Peguam, Kuthubul Zaman Bukhari, berkata hal itu kerana Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - atau lebih dikenali sebagai Akta 355 - belum dululuskan parlimen setakat ini.

“DUN Kelantan bertindak melebihi bidang kuasanya dengan meluluskan pindaan itu sebelum Akta 355 dipinda.

"(Dan) undang-undang hudud yang diluluskan oleh DUN itu juga melibatkan kesalahan di bawah Kanun Keseksaan.

"Oleh itu kami berpendapat seseorang tidak boleh dihukum (sebat) atas kesalahan syariah, yang turut ada dalam Kanun Keseksaan, dan kami menentang (sebatan) di khalayak ramai," katanya kepada Malaysiakini hari ini.

Semalam DUN Kelantan meluluskan pindaan rang undang-undang itu selepas disokong sebulat suara.

Pertahan prinsip sejagat

Ia diumumkan oleh Speaker DUN Kelantan Datuk Abdullah Yaa’kub. Usul pindaan berkenaan dibawa Exco Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud.

Melalui pindaan itu antara lain pihak berkuasa di negeri itu boleh melaksanakan hukuman sebat dijalankan di khalayak ramai.

Ia turut memperuntukkan kuasa kepada pegawai penguat kuasa agama menggunakan gari ke atas suspek, selain membenarkan video digunakan sebagai bahan bukti dalam perbicaraan.

Kuthubul Zaman (gambar) juga berkata Fasal 75 perlembagaan negara menyatakan apabila ada sebarang undang-undang negeri bercanggah dengan undang-undang Persekutuan, maka undang-undang negeri terbatal setakat percanggahan itu.

Menurut bekas presiden Badan Peguam Malaysia itu juga berkata sebagai anggota Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), negara ini tidak sepatutnya membenarkan amalan sebat di khalayak ramai sebagai suatu bentuk seksaan.

"Majlis Peguam menggesa keaan mematuhi norma dan prinsip hak asasi manusia antarabangsa, terutama berkaitan Konvensyen Menentang Seksaan PBB.

"Malaysia sebagai bekas anggota Majlis Hak Asasi Manusia perlu menjadi contoh kepada amalan menegakkan prinsip hak asasi manusia sejagat," katanya.

Turut mempertikaikan kesahihan pindaan DUN Kelantan itu ialah MCA dan Sisters In Islam.

Semalam Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk .Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata, pundaan itu selari dengan undang-undang Islam.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS