Tun Dr Mahathir Mohamad yang dilantik sebagai pengerusi Pakatan Harapan, berkata gabungan itu akan melantik seorang perdana menteri dan bukannya calon sementara untuk jawatan itu jika mereka memenangi pilihan raya umum akan datang.
Walau bagaimanapun, beliau berkata belum ada keputusan tentang siapakah calon itu.
"Kami belum buat keputusan. Kami tidak akan ada bakal PM atau PM sementara.
"Ia adalah PM," katanya kepada pemberita ketika ditemui di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur petang ini.
Mahathir juga menyelar Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak kerana mendakwa DAP dipinggirkan berkaitan dengan senarai kepimpinan HARAPAN yang diumumkan malam semalam.
"Tiada siapa yang diketepikan, kita semua bersama. Kita setaraf," kata pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu.
Mahathir juga mengulas kenyataan Salleh bahawa senarai HARAPAN itu tidak menjelaskan siapa sebenarnya mempunyai kata pemutus.
"Ini adalah antara perkara yang mahu diukur oleh Salleh. Dia mahu ukur siapa tinggi atau pendek, sedangkan dia juga pendek," katanya.
Diasak lanjut, Mahathir berkata semua keputusan akan dibuat berdasarkan konsensus.
