Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPJ akan segera tangani isu kekurangan LKM
Diterbitkan:  Jul 15, 2017 8:04 AM
Dikemaskini: 12:06 AM

Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  memberi jaminan bahawa isu kekurangan bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) akan ditangani sebaik mungkin supaya pengguna tidak lagi menghadapi kesulitan untuk pembaharuan LKM.  

JPJ dalam kenyataannya semalam berkata tindakan drastik telah diambil oleh syarikat pembekal untuk membuat cetakan dan pengeluaran disk LKM dalam skala yang besar bagi membolehkan bekalan disk LKM disalurkan kepada cawangan JPJ atau melalui ejen seperti Pos Malaysia dan MyEG. 

"Ibu pejabat JPJ dengan kerjasama pembekal dokumen disk LKM telah mengambil tindakan pantas menghantar bekalan sebanyak 20,000 disk LKM kepada JPJ Selangor sekali gus menyelesaikan masalah putus bekalan buat sementara waktu.

"Selain itu, bekalan stok yang sama turut diagihkan di negeri lain dan ejen pemungut sebanyak 20,000 disk LKM termasuk JPJ Wilayah Kuala Lumpur. Sebanyak 40,000 disk LKM diedarkan kepada Pos Malaysia serta 5,000 kepada MyEG," kata kenyataan itu.

Menurut JPJ, dengan inisiatif dan pelan pemulihan yang diambil oleh syarikat pembekal, dianggarkan bekalan disk LKM sebanyak 50,000 keping sehari akan kembali seperti sedia ada.

Baru-baru ini terdapat rungutan orang awam apabila berlakunya gangguan transaksi pembaharuan LKM di JPJ Selangor selama dua jam dari 10 pagi hingga 12.00 tengah hari.

JPJ berkata gangguan bekalan LKM itu berpunca daripada kegagalan dan kerosakan mesin pencetak untuk mencetak nombor siri dan ciri-ciri keselamatan pada disk LKM.

"Kegagalan  mesin pencetak ini berfungsi adalah disebabkan oleh kerosakan terhadap komponen utama mesin yang  memerlukan kepakaran daripada pihak luar untuk melakukan kerja-kerja baik pulih,” katanya.

Disebabkan itu, stok LKM baru tidak dapat dicetak dan menyebabkan syarikat pembekal tidak dapat membekalkan disk LKM  kepada stor pusat di ibu pejabat JPJ, katanya.

JPJ telah meminta syarikat pembekal untuk mengemukakan laporan terperinci berhubung isu itu dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

- Bernama

Lihat Komen
ADS