Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Dadah RM6.2 juta dirampas, 12 ditahan di JB
Diterbitkan:  Jul 15, 2017 2:02 PM
Dikemaskini: 8:37 AM

Polis merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM6.2 juta dan menahan 12 individu dipercayai anggota sindiket memproses dadah dalam lima serbuan sekitar bandaraya Johor Bahru pada Isnin (10 Julai).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Seri Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata turut dirampas dalam serbuan dari 6.15 petang sehingga 8 malam itu adalah sebutir bom tangan, empat pucuk pistol dan 140 butir peluru.

Beliau berkata serbuan di kawasan Perling, Larkin dan Bandar Dato' Onn itu membabitkan penahanan 12 individu terdiri daripada lima lelaki warga tempatan, seorang lelaki warga Singapura, seorang lelaki warga Vietnam, empat wanita warga China dan seorang wanita warga Vietnam dipercayai anggota sindiket pemprosesan dadah.

"Kesemua yang ditahan berusia dalam lingkungan 21 dan 58 tahun. Hasil siasatan juga mendapati terdapat pelbagai jenis dadah yang diproses oleh sindiket itu antaranya syabu, ketamin dan kokain yang dipercayai dijual bagi pasaran Indonesia dan Singapura," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di Johor Bahru hari ini.

Nilai sitaan harta dianggarkan sebanyak RM620,000 termasuk wang tunai pelbagai mata wang bernilai RM57,000, tujuh buah kenderaan, tujuh utas jam tangan dan pelbagai jenis barang kemas.

Mohd Mokhtar berkata jenis dadah yang dirampas termasuk 107.4 liter cecair disyaki syabu, 5.4 kilogram (kg) syabu, lima kilogram kokain, dua kilogram ketamin, 1.4 kg ekstasi, 9.1 kg ephedrine, 867 biji pil ecstasy dan tiga biji pil erimin 5 selain pelbagai peralatan memproses dadah serta bahan kimia.

Beliau berkata seorang lelaki warga tempatan yang ditahan berperanan sebagai ahli kimia sindiket.

Selain itu, enam lelaki yang ditahan juga didapati positif dadah manakala tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah lampau.

“Warga lelaki Singapura yang kita tahan pula mempunyai pasport yang kita percaya milik orang lain dan kita telah meminta Jabatan Imigresen untuk membantu menentukan kesahihan pasport berkenaan. Semua warga asing yang ditahan memasuki negara menggunakan pas lawatan sosial.

“Untuk dadah Syabu ini sahaja, ia boleh dijual kepada 281,000 penagih. Sumber dadah pula diperoleh secara import dari China selain dibuat sendiri oleh ahli kimia sindiket selepas belajar membuatnya melalui Youtube,” jelasnya.

​​​​​​​Katanya serbuan ini merupakan susulan daripada kejayaan serbuan yang dilakukan oleh STING pada 9 Jan 2017 lalu di mana 11 warga tempatan ditahan bersama dadah dan bahan memproses dadah bernilai RM3 juta di Johor dan Selangor.

“Kita akan siasat sama ada masih terdapat saki baki anggota sindiket ini dan kita juga akan pastikan kegiatan haram ini tidak akan terus berleluasa di dalam negara,” tegasnya.

Lima warga tempatan yang ditahan direman selama tujuh hari sehingga 17 Julai ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala warga asing yang ditahan direman selama 14 hari dan disiasat bersama Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/53.

Menurut Mohd Mokhtar, polis telah merampas dadah pelbagai jenis bernilai RM119.92 juta sejak 1 Jan sehingga 12 Julai tahun ini dengan tangkapan bagi pelbagai kesalahan dadah melibatkan seramai 96,284 orang.

Antara dadah yang dirampas termasuk dadah jenis syabu sebanyak 629.3kg, ketamin (92.9kg), 111,813 pil ekstasi, 789,101 pil yaba, 2.6 juta pil erimin 5, ganja (810.5kg) dan heroin (279.5kg).

- Bernama

​​​​​​​

​​​​​​​

​​​​​​​

Lihat Komen
ADS