Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PPIM gesa SPRM siasat 'Datuk Kabi'
Diterbitkan:  Jul 16, 2017 5:06 PM
Dikemaskini: 11:40 AM

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa menyiasat seorang ahli perniagaan yang menggelarkan dirinya ‘Datuk Kabi’ berikutan tiada tindakan diambil terhadap lelaki terbabit meskipun didakwa terlibat dengan kes penipuan syarikat pajakan kenderaan di Kajang.

Pengarah Unit Tindakan Khas, Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Muhammad Yusuf Azmi berkata, SPRM wajar membuka kertas siasatan sekali gus menyiasat lelaki itu yang dianggap ‘kebal’.

“Sudah tiba masanya SPRM buat sesuatu dan selesaikan masalah ini, jika benar sudah diambil tindakan terhadap lelaki ini maka uar-uarkan supaya semua orang dapat tahu.

“Kita pelik kerana lebih 1,000 laporan telah dibuat terhadap lelaki ini tetapi masih tiada tindakan,” katanya kepada Mingguan Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, beberapa siri rakaman video Muhammad Yusuf tersebar luas di media sosial selepas aktivis itu membantu mangsa mendapatkan semula kereta daripada sebuah syarikat pajakan kenderaan di Kajang.

Video tersebut memaparkan aktivis PPIM berdepan dengan kakitangan syarikat terbabit melibatkan insiden perang mulut, merobohkan pagar premis dan mengambil semula kereta milik mangsa.

PPIM dilaporkan berjaya membantu kira-kira 60 pemilik mendapatkan kenderaan masing-masing, namun berdasarkan aduan masih terdapat kira-kira 1,440 buah kereta dalam simpanan syarikat berkenaan.

Polis Selangor kemudian mengumumkan telah membuka kertas siasatan bagi menyiasat insiden itu.

Menurut ketua aktivs PPIM, Datuk Nadzim Johan, persatuan itu akan terus memburu sindiket skim pajakan kereta bagi membela nasib pengguna yang teraniaya.

Katanya, mengikut maklumat diperolehi masih banyak syarikat yang menjalankan aktiviti itu dengan pelbagai skala perniagaan.

Lihat Komen
ADS