Lim cadang RCI baru siasat kematian Beng Hock

   

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang mencadangkan agar satu lagi Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan untuk menyiasat kematian Teoh Beng Hock, lapan tahun lalu.

Lim berkata beliau berharap Pakatan Harapan (HARAPAN) akan melaksanakan RCI tersebut dalam tempoh 100 hari selepas memenangi pilihan raya umum akan datang.

Katanya, cadangan ini bukan baru kerana ia pernah dijanjikan oleh Pakatan Rakyat pada pilihan raya umum 2013.

"Kejadian yang melibatkan Beng Hock bukanlah mengenai satu orang, keluarganya atau DAP, ia adalah mengenai perjuangan Malaysia menentang rasuah dan tadbir urus yang baik," katanya.

Beliau berkata tiada siapa didakwa atas kematian Beng Hock sehingga kini, walaupun RCI pertama pada tahun 2011 mendakwa mangsa membunuh diri akibat taktik soal siasat agresif oleh tiga pegawai SPRM.

Lim memberitahu pemberita selepas menghadiri upacara memperingati ulang tahun kelapan kematian Beng Hock di Semenyih hari ini.

Beliau juga mencadangkan HARAPAN memperkenalkan sebuah pingat sempena nama Beng Hock, jika gabungan itu membentuk kerajaan persekutuan untuk menghormati mereka yang berjuang memerangi rasuah.

Keluarga terus berjuang

Terdahulu, adik Beng Hock, Lee Lan memberitahu kira-kira 100 orang yang menghadiri majlis peringatan itu bahawa sehingga kini tiada siapa yang dipertanggungjawabkan atas kejadian itu.

"Kami, keluarga Teoh, telah memenangi saman sivil, tetapi ini bukan penamat.

"SPRM telah mengaku bahawa Beng Hock meninggal dunia dalam tahanan mereka, dan itulah sebabnya kita memenangi kes itu. Namun, saman sivil ini tidak bermakna prosiding jenayah telah berakhir.

"Sekiranya seseorang mati dalam tahanan, tapi tidak ada pendakwaan jenayah dikenakan, maka kenapa kita perlu ada penjara dan pasukan polis?

"Mengapa kita perlu mengekalkan penguatkuasaan undang-undang seperti itu dan agensi jenayah?" katanya yang berikrar meneruskan perjuangan untuk mendapatkan keadilan bagi abangnya.

[Baca berita penuh]

 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda