DAP: Isytihar harta lebih penting daripada ikrar

   

Kerajaan negeri lebih berminat dengan pegawai tertinggi Pulau Pinang mengisytiharkan harta mereka dan bukannya menandatangani "ikrar bebas rasuah" - inisiatif yang dimulakan oleh Putrajaya, kata Ahli Dewan Undangan Negeri Air Itam, Wong Hon Wai.

Wong berkata ini disampaikan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Paul Low, yang bertanggungjawab terhadap dasar berkaitan ketelusan, semasa pertemuan dengan Ketua Menteri Lim Guan Eng.

“Tetapi ia tidak berhasil bila Paul Low berkeras tidak mahu memasukkan syarat ‘mewajibkan semua pemegang jawatan pentadbiran kerajaan mengisytiharkan aset peribadi mereka secara umum’ dalam ikrar integriti itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Wong mengulas bidasan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Dzulkifli Ahmad yang mendakwa Pulau Pinang enggan menandatangani "ikrar bebas rasuah" itu.

Dzulkifli berkata bahawa setiap negeri sama ada bersedia atau sudah melakukannya kecuali Pulau Pinang.

“Tinggal satu negeri sahaja (yang enggan menandatangani IBR). Terpulanglah pada rakyat untuk menilai tentang isu ini," katanya yang dipetik Bernama.

Bagaimanapun, Wong, yang juga setiausaha politik Lim, berkata bahawa SPRM tidak pernah menulis kepada kerajaan negeri mahupun ketua menteri berhubung perkara berkenaan.

“Macam mana kerajaan negeri Pulau Pinang boleh buat keputusan sama ada setuju atau tidak dengan ikrar bebas rasuah sekiranya tidak menerima sebarang surat daripada SPRM?” katanya dalam satu kenyataan.

Wong berkata bahawa serangan SPRM terhadap kerajaan negeri Pulau Pinang adalah tidak berasas serta juga dilihat berat sebelah dan cenderong kepada BN, kerana menggunakan laporan pemimpin BN Pulau Pinang atau NGO-NGO yang pro-BN.

“Bolehkah SPRM menulis surat kepada Ketua Menteri yang menwaikili kerajaan negeri Pulau Pinang, atau mereka lebih berminat membuat serangan politik menjelang pilihanraya umum ke-14?” katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda