Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan bahawa Mahkamah Tinggi Melaka terkhilaf memberi permohonan kepada tujuh penduduk di negeri itu yang mencabar proses persempadan semula Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Panel tiga anggota yang bersidang hari ini membenarkan rayuan SPR selepas berpuas hati dengan hujah suruhanjaya itu yang diwakili peguam kanan persekutuan Datuk Amarjeet Singh.
"Kami tidak membuat sebarang perintah mengenai kos," kata Hakim Datuk Umi Kalthum Abdul Majid.
Beliau sehubungan membenarkan permohonan SPR untuk mengetepikan kebenaran permohonan semakan kehakiman yang diperoleh oleh pengundi kawasan berkenaan.
Hakim lain yang bersidang bersama adalah Datuk Hasnah Mohammed Hashim dan Tan Sri Idrus Harun.
Penduduk berkenaan sebelum ini memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi Melaka pada 3 Mei lalu untuk mencabar persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
Kesan daripada keputusan Mahkamah Rayuan bermakna permohonan mereka yang diwakili peguam Datuk S Ambiga untuk mencabar keputusan mahkamah itu berakhir.
Peguam Negara mewakili SPR dalam hal ini.
Ketujuh-tujuh pengundi di Parlimen Kota Melaka dan Bukit Katil memfailkan permohonan bagi kebenaran untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar cadangan persempadanan semula oleh SPR yang didakwa mereka tidak berperlembagaan.
Ketujuh-tujuh mereka adalah Chan Tsu Chong, 29; Neo Lih Xin, 30; Azura Talib, 40; Lim Kah Seng, 30 ; Norhizam Hassan Baktee, 51 ; Amir Khairudin, 52 dan Amran Atan, 46.
Mereka menuntut perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula SPR berikutan kajian pada 2016 tidak berperlembagaan kerana ia tidak konsisten dengan Fasal 113 dan Jadual ke-13 Perlembagaan Persekutuan dan oleh itu ia tidak sah dan terbatal.
Pada prosiding pendengaran hari ini, Amarjeet Singh berhujah bahawa cadangan SPR tidak tertakluk kepada semakan kehakiman memandangkan keputusannnya bukan keputusan undang-undang yang menjejaskan hak responden-responden dan ia juga tidak mengikat sesiapa pun.
Beliau berkata cadangan SPR mesti mempunyai kesan undang-undang dan mengikat supaya dapat disemak oleh mahkamah.
"SPR hanya mencadangkan selepas berunding dengan pihak berkepentingan dan pembuat keputusan muktamad adalah badan perundangan.
“SPR tidak membuat keputusan yang mengikat apabila ia menyerahkan laporan akhirnya,” katanya.
Amarjeet Singh berkata Hakim Mahkamah Tinggi sepatutnya tidak memberi kebenaran kepada para pengundi memandangkan tidak ada kes yang boleh dipertikaikan, sambil menambah kes ini adalah kes yang patut dan wajar untuk mahkamah rayuan campur tangan.
Peguam Datuk S Ambiga berhujah bahawa kebenaran untuk semakan kehakiman perlu diberikan kepada anak guamnya sambil menambah apa yang diminta mereka adalah peluang untuk didengar kerana mereka mahu memastikan SPR tidak mengurangkan hak mereka untuk mengundi.
Beliau berkata mahkamah boleh menghukum isu-isu mengenai perlembagaan sambil menambah mahkamah boleh memutuskan sama ada cadangan SPR adalah mengikut perlembagaan.
"Kami tidak meminta mahkamah untuk campur tangan dengan proses inkuiri namun kami mengatakan mahkamah mesti menghentikan SPR daripada bertindak secara tidak berperlembagaan," katanya.
