Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PMO umum anggota RCI siasat kerugian Bank Negara
Diterbitkan:  Jul 18, 2017 6:07 PM
Dikemaskini: 12:24 PM

Pengerusi Petronas dan seorang hakim adalah antara enam tokoh dilantik menganggotai Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat kes kerugian Bank Negara akibat urus niaga mata wang asing pada 1990-an lalu.

Dalam satu kenyataan hari ini Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata enam panel RCI yang dipilih itu ialah:

  • Tan Sri Mohd Sidek Hassan - Pengerusi Petronas
  • Datuk Kamaludin Md Said - hakim mahkamah tinggi
  • Datuk Seri Tajuddin Atan - Ketua Pegawai Eksekutif Bursa Malaysia Berhad
  • Tan Sri Saw Choo Boon - Pengerusi Bersama Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan
  • Pushpanathan S A Kanagarayar - anggota Institut Akauntan Malaysia, Ahli Institut Akauntan Awam Bertauliah Malaysia serta bekas rakan kongsi firma Ernst & Young
  • Datuk Dr Yusof Ismail - Setiausaha Bahagian Pelaburan Strategik, Kementerian Kewangan

Mohd Sidek dilantik sebagai pengerusi RCI berkenaan, manakala Yusof bertindak sebagai setiausaha.

Menurut PMO, pelantikan Mohd Sidek dan Saw dibuat bagi mewujudkan kesinambungan dalam isu berkenaan kerana mereka pernah menganggotai pasukan petugas khas mengenai perkara sama sebelum ini.

"Keanggotaan ahli-ahli lain adalah dibuat dengan mengambil kira kelayakan dan pengalaman mereka dalam bidang yang berkait rapat dengan siasatan yang akan dijalankan oleh suruhanjaya," kataya.

Kenyataan itu menyebut penubuhan RCI itu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong dan siasatan dibuat mengikut Akta Suruhanjaya Siasatan 1950 (Akta 119), berkuat kuasa mulai 15 Julai lalu.

RCI itu, kata PMO, dikehendaki menyiapkan siasatan itu dalam tempoh tiga bulan.

Bidang tugas RCI itu pula termasuk menentukan kesahihan dakwaan kerugian akibat perdagangan mata wang asing yang dialami bank pusat itu pada 1990-an serta kesannya kepada ekonomi negara.

Tugas lain yang ditetapkan ialah:

  • Menentukan sama ada penglibatan Bank Negara dalam aktiviti urus niaga mata wang asing yang menyebabkan kerugian itu bertentangan dengan Central Bank Ordinance 1958 atau mana-mana undang-undang yang berkaitan atau tidak
  • Menentukan sama ada terdapat elemen menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian Bank Negara dalam urus niaga mata wang asing itu dan memberi kenyataan yang mengelirukan (misleading) kepada jemaah menteri, parlimen dan rakyat;
  • Mengesyorkan tindakan yang sesuai diambil terhadap pihak-pihak yang terlibat secara langsung dan/atau tidak langsung jika didapati mereka menyebabkan kerugian Bank Negara Malaysia serta menyembunyikan fakta dan maklumat sebenar berhubung kerugian itu
  • Mengesyorkan langkah-langkah bagi memastikan perkara yang sama tidak berulang.

Pada 15 Februari lalu kerajaan mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas untuk menyiasat kerugian urus niaga mata wang asing (forex) berkenaan yang dianggotai wakil pelbagai agensi kerajaan serta individu yang dihormati.

Pasukan petugas khas itu kemudian mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan oleh kabinet sebelum menubuhkan RCI jika dirasakan perlu.

Penubuhan pasukan petugas khas serta RCI itu dibuat ketika kritikan terhadap kerajaan semakin memuncak termasuk oleh bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Untuk rekod isu kerugian yang dialami Bank Negara itu berlaku ketika Dr Mahathir masih menjadi perdana menteri.

Pembangkang menyambut baik kewujudan RCI berkenaan, namun menuntut badan seumpama itu turut ditubuhkan bagi menyiasat skandal 1MDB.

Bagaimanapun kerajaan menafikan penubuhan RCI itu bermotifkan politik atau berniat jahat.

Lihat Komen
ADS