Paling Popular
Terkini

Dewan Rakyat akan bersidang semula mulai Isnin depan dan agenda yang bakal menjadi tumpuan adalah usul Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau dikenali sebagai Rang Undang-Undang 355 (RUU355).

Bagaimanapun, usul tersebut disenaraikan sebagai perkara ke-10 dalam aturan urusan mesyuarat, selepas urusan-urusan kerajaan. Justeru persoalannya, apakah RUU355 akan dibahaskan kali ini atau ditunda sekali lagi?

Penyelidik veteran di parlimen, Ooi Heng berpendapat, usul tersebut sepatutnya sudah berada dalam peringkat perbahasan memandangkan, November lalu, ia disokong oleh Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

"November lalu, Hadi dibenarkan membentangkan usul itu. Pada bulan April, bukan sahaja usul itu dibacakan dan dijelaskan, tetapi turut disokong.

"Usul yang disokong menjadi agenda Dewan Rakyat dan sama ada akan dibahaskan ditentukan oleh speaker," katanya kepada Malaysiakini.

Dalam situasi itu menurut Ooi, speaker mempunyai pilihan untuk merujuk kepada kerajaan mengenai keutamaan usul Abdul Hadi.

Katanya, sebagai alternatif speaker juga mempunyai pilihan dengan bergantung sepenuhnya kepada budi bicara sendiri sama ada mahu memberi keutamaan terhadap usul tersebut berbanding urusan kerajaan.

"Sebarang kekeliruan akan diputuskan speaker dan bukan oleh mana-mana anggota parlimen," katanya yang juga adalah pengarah eksekutif Kajian Politik untuk Perubahan (KPRU).

Pada 6April lalu, Abdul Hadi berjaya membentangkan usul RUU355 di parlimen bagaimanapun beliau meminta supaya sesi perbahasan usul tersebut ditangguhkan pada sesi akan datang.

Sementara itu, Sin Chew Daily melaporkan, anggota parlimen Marang itu kemungkinan diberi cuti daripada menghadiri sidang parlimen pada minggu depan kerana masih beristirehat selepas menjalani pembedahan jantung dan perkara itu dilihat bakal melambatkan perbahasan usul tersebut.

Tambah Ooi, sekiranya usul tersebut dibahaskan, Abdul Hadi perlu hadir pada peringkat perbahasan dan penggulungan.

"Jika beliau tidak dapat hadir, maka dia perlu minta penangguhan (bahas)," katanya.

Dalam perkembangan itu, setiausaha akhbar Abdul Hadi, Abdul Malik Abdul Razak mengesahkan bosnya tidak meminta cuti perubatan pada hari parlimen bersidang itu.

"Insya-Allah," katanya ketika ditanya sama ada Hadi akan menghadiri sidang Dewan Rakyat atau sebaliknya.

Lihat Komen
ADS