Dalam mesejnya kepada pemimpin Pakatan Harapan berikutan pengesahan struktur organisasi gabungan itu, bekas Menteri di jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim mahu mereka mencabar Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) di mahkamah.
Zaid dalam catatan di blog hari ini berkata pemimpin HARAPAN perlu mempertimbangkan senario yang mungkin berlaku sekiranya keputusan pilihan raya umum akan datang tidak memihak kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Umno.
Najib, katanya, mempunyai “senjata” yang tidak dimiliki orang lain dan ia adalah Akta MKN.
Sebagai perdana menteri, Najib berkuasa penuh ke atas Majlis Keselamatan Negara dan majlis itu mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan kecemasan dan melantik sesiapa sahaja sebagai pengarah operasi kawasan keselamatan, kata Zaid.
Pengarah operasi, pula mempunyai kawalan penuh terhadap kawasan keselamatan berkenaan dan mempunyai kuasa mutlak untuk melaksanakan segala tugas berkaitan dengan keselamatan.
"Kita biasa dengan konsep keselamatan nasional dan kepentingan nasional di negara ini - ia adalah apa sahaja yang perdana menteri kata.
"Sebagai contoh, jika perdana menteri mahu pengarah perisikan tentera (seperti yang dilaporkan oleh Sarawak Report, didakwa menerima jutaan ringgit daripada perdana menteri sebelum pilihan raya lalu) menjadi pengarah kawasan keselamatan, maka pengarah itu - dan bukannya Panglima Angkatan Tentera atau Ketua Polis Negara - akan menjadi supremo aparatus keamanan," kata Zaid.
Akibatnya, penguasaan ke atas Tentera Darat, Tentera Laut, Tentera Udara dan polis akan dipecahkan oleh Akta MKN dan perdana menteri akan mempunyai kawalan penuh ke atas semua institusi ini kerana beliau boleh melantik pengarah operasi pilihannya, kata beliau.
Dan apabila sesuatu kawasan diisytiharkan sebagai kawasan keselamatan, deklarasi itu sah selama enam bulan dan boleh dilanjutkan selama-lamanya. Satu-satunya cara perisytiharan itu boleh dibatalkan adalah dengan kelulusan Dewan Rakyat dan Dewan Negara.
"Saya percaya penting bagi pemimpin Harapan untuk mempersiapkan negara bagi sebarang kemungkinan. Malah, untuk memastikan kemenangannya, tidak mustahil perdana menteri mengisytiharkan kawasan tertentu sebagai kawasan darurat sebelum pilihan raya umum diadakan. "
Perdana Menteri, kata Zaid, juga boleh meminta pengarah operasi untuk mengadakan pilihan raya di Sabah, Johor dan Kedah jika beliau mengisytiharkan negeri-negeri itu sebagai kawasan keselamatan.
