Timbalan Ketua Pengarah Operasi Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob mungkin akan dijatuhkan hukuman lebih berat kerana memandu di laluan kecemasan jika jawatan kanannya dibawa ke perhatian mahkamah.
Peguam Syahredzan Johan berkata Yusoff sebagai pegawai kanan JPJ sepatutnya menguatkuasakan undang-undang sama yang dilanggarnya, dan fakta ini boleh dibangkitkan.
"Pada perbicaraan itu, perkara yang saya perhatikan ialah pendakwa raya tidak memberitahu mahkamah atau memohon hukuman yang lebih berat.
"Ada beberapa faktor yang menjadikannya lebih buruk. Contohnya, hakikatnya bahawa ini sebenarnya membabitkan seorang pegawai JPJ - malah seorang pegawai JPJ yang berpangkat tinggi - jadi sepatutnya dia harus ada kewajiban lebih tinggi mematuhi undang-undang.
"Sepanjang pengetahuan saya, saya tidak ingat maklumat ini dikemukakan dan dimaklumkan kepada majistret. Jadi, saya tidak boleh menyalahkan majistret kerana hanya mengenakan denda RM600, kerana ini tidak dimaklumkan kepadanya," katanya kepada Malaysiakini.
Syahredzan hadir semasa prosiding ke atas Yusoff, kerana beliau sedang menghadiri satu lagi perbicaraan lain di mahkamah yang sama.
Semalam, Yusoff yang tidak hadir di mahkamah tetapi sebaliknya diwakili oleh pegawai khasnya mengaku bersalah terhadap tuduhan memandu kereta dengan nombor pendaftaran BLY69 pada 7 Oktober 2016 pada pukul 6.27 petang lorong kecemasan di Lingkaran Putrajaya.
Hakim Mahkamah Majistret Putrajaya, Nik Isfahanie Tasnim Ab Rahman menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM600 terhadap Yusoff atau dipenjara tujuh hari sekiranya gagal membayar denda berkenaan.
Hukuman maksimum bagi kesalahan itu adalah denda RM2,000 atau penjara enam bulan atas sabitan pertama.
