Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Kerajaan menimbang pelbagai faktor bagi mewujudkan sistem Transit Aliran Massa (MRT) di negeri lain termasuk keberdayaannya beroperasi di kawasan tersebut.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Abdul Aziz Kaprawi berkata pelaksanaannya juga tidak dilakukan sewenang-wenangnya kerana mengikut keperluan.

“Bergantung kepada keperluan dan sekiranya Johor Bahru (sebagai contoh) mempunyai keperluan itu serta berdaya maju, maka memang akan dilaksanakan.

“Lagipun, masa depan pengangkutan di Malaysia ialah rel dan kita telah membuat transformasi yang begitu drastik ke atasnya dengan memperkenalkan antara lain Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Projek Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) bagi menghubungkan semua bandar di seluruh negara dengan kereta api.

”Ini bagi memastikan ekonomi kita dapat digerakkan dengan laju,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Konvensyen Netherlands Maritime Institute of Technology (NMIT) di Johor Bahru hari ini.

Abdul Aziz berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan mempunyai rancangan untuk meluaskan sistem MRT ke negeri lain termasuk Johor Bahru yang sedang pesat membangun.

Menurut beliau, pembinaan ECRL dan HSR adalah ‘hadiah’ masa depan yang baik kepada masyarakat kerana memungkinkan pergerakan sesuatu barangan dan masyarakat dalam kadar pantas.

Dalam perkembangan lain, Abd Aziz berkata Malaysia memerlukan lebih ramai lagi tenaga kerja dalam industri maritim memandangkan kerajaan sedang mengorak langkah dalam menjadikan negara sebagai hab logistik untuk rantau ini.

Katanya, keperluan itu juga seiring dengan penubuhan gagasan ekonomi China ‘One Belt, One Road’ yang akan menyemarakkan lagi industri maritim dunia.

“Malaysia mendapat peluang yang besar kerana kita mempunyai Selat Melaka yang merupakan selat tersibuk di wilayah ini.

“Malah saya lihat kerajaan mempunyai perancangan yang rapi untuk mengeksploitasi peluang industri ini yang kian meningkat dan kita juga berharap NMIT dapat mengisi ruang kekosongan industri ini,” katanya.

Pada majlis tersebut, seramai 247 pelajar menerima Diploma dalam Pengurusan Pengangkutan Maritim dan 174 orang memperoleh Diploma Pengurusan Perkapalan.

-Bernama

Lihat Komen
ADS