Bapa kepada kanak-kanak lelaki berusia lapan tahun yang dikatakan cedera di pipi kerana dihukum guru akibat bermain di bilik darjah, mahukan guru berkenaan dipecat daripada tugasnya.
Sekiranya gagal berbuat demikian, beliau bersama mereka yang bimbang dengan insiden itu akan melakukan protes di hadapan sekolah rendah berkenaan di Port Dickson, kata Said Sudu, 32 kepada Malaysiakini.
Pelajar berkenaan, Mohamad Fikri Said cedera setelah guru matematiknya didakwa menekap pengasah pensel panas yang digosok di lantai ke pipi murid itu kerana bermain di dalam kelas, 11 Julai lalu.
Kanak-kanak lelaki itu juga dilaporkan ditampar di tempat yang sama oleh guru lelaki berusia 32 tahun itu. Said kemudian membuat laporan polis berhubung insiden berkenaan.
Menurut Said, dia dan isterinya pergi ke sekolah itu Jumaat lalu dan guru besar wanita di sekolah berkenaan menawarkan diri untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan membayar pampasan bagi yuran perubatan anaknya.
Guru besar itu juga meminta Said dan isterinya menggugurkan kes kerana mendakwa guru berkenaan 'masih muda dan masa depan akan musnah jika tindakan diambil'.
Satu video ketika pertemuan itu yang dirakamkan secara rahsia menggunakan kamera tersembunyi, menjadi tular di media sosial. Said juga kesal dengan kelewatan polis mengambil tindakan terhadap insiden itu.
"Polis beritahu saya ia mungkin mengambil masa sebulan sebelum mereka boleh bertindak kerana mereka sedang menunggu laporan dari hospital mengenai kecederaan anak saya," katanya.
"Saya telah memberikan sekolah dua minggu (dari hari kejadian) untuk mengambil tindakan.
"Kalau guru itu masih ada di sana, saya dengan beberapa NGO yang telah menyatakan keprihatinan mengenai perkara itu, akan melakukan protes di luar sekolah," katanya.
