Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
DAP tangguh pemilihan, arahan ROS dari 'berita palsu'

DAP malam ini memutuskan untuk menangguhkan pemilihan semula kerana mahu Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) menjelaskan arahannya yang didakwa parti itu berdasarkan "berita palsu".

"Asas ROS untuk pemilihan semula benar-benar tidak berasas dan berdasarkan berita palsu.

"Oleh itu, DAP berharap ROS akan membenarkan satu perjumpaan bagi menjelaskan dan membincangkan langkah seterusnya," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng dalam sidang akhbar selepas mesyuarat jawatankuasa eksekutif pusat parti itu di ibu pejabat DAP malam ini.

Lim berkata DAP malam tadi mengkaji semula surat rasmi ROS yang diterima pada Isnin dan mendapati arahan ROS mengadakan pemilihan semula berdasarkan dua premis yang dikatakan "palsu".

Pada 7 Julai, ROS mengarahkan DAP mengadakan pemilihan CEC yang baru, dengan menyatakan bahawa pemilihan semula pada 2013 tidak mengikut undang-undang.

Parti itu diberikan 14 hari untuk memberi respons kepada ROS bagi pemilihan semula, dan sekiranya gagal boleh diambil tindakan di bawah Akta Pertubuhan 1966.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi juga mengatakan DAP tidak boleh mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang jika ia tidak mematuhi arahan ROS.

ROS berkata pemilihan semula sepatutnya berdasarkan senarai perwakilan yang digunakan bagi pemilihan CEC yang diadakan pada 15 Disember 2012, melibatkan 2,576 perwakilan daripada 854 cawangan.

Lim menjelaskan pada malam ini bahawa jumlah perwakilan DAP pada tahun 2012 adalah sama dengan pemilihan semula 2013.

Walaupun cawangan DAP meningkat daripada 751 pada tahun 2012 kepada 985 pada 2013, beliau berkata hanya 2,576 perwakilan dari 751 cawangan layak untuk mengundi dalam pemilihan semula 2013.

Dalam surat bertarikh 17 Julai kepada DAP, ROS menegaskan bahawa DAP mempunyai sejumlah 865 cawangan yang sah pada tahun 2012, yang mana meningkat kepada 985 pada tahun hadapan.

"Ini palsu," kata Lim.

Lim berkata ROS mendapati sebanyak 865 cawangan itu berdasarkan laporan palsu bertajuk "Laporan Equiti: Penipuan Pemilihan CEC" oleh "Father Augustus Chen".

Beliau kemudian memetik kes fitnah yang dimenangi oleh Lim Kit Siang terhadap Utusan Malaysia yang memetik laporan yang sama.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS