Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Mahkamah Rayuan hari ini memutuskan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak perlu membekalkan maklumat berkaitan kod lokaliti dan nama 136,272 pengundi yang diragui semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 dan 1994.

Panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Mohd Zawawi Mohd Salleh juga memutuskan kerajaan negeri Selangor tidak lagi dibenarkan memeriksa balas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Mohd Hashim Abdullah dalam tindakan perundangan berhubung cadangan persempadanan semula kawasan pilihan raya bagi kerusi Parlimen dan DUN di negeri itu.

Ketiga-tiga hakim sebulat suara membenarkan rayuan SPR dan tidak membuat perintah mengenai kos.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Azizul Azmi Adnan pada 9 Mac lalu mengarahkan SPR untuk memberi maklumat berkaitan kod lokaliti dan nama 136,272 pengundi semasa persempadanan semula kawasan pilihan raya pada 2003 dan 1994.

Dalam permohonan berkenaan, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin memohon perisytiharan bahawa cadangan persempadanan semula itu, berdasarkan kajian SPR pada 2016, tidak mematuhi perlembagaan, tidak selaras dengan Fasal 2(c) dan 2(d) Perkara 113 (2) Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, serta tidak sah dan terbatal.

Ahli Parlimen Gombak itu juga memohon mendapatkan perisytiharan bahawa kegagalan SPR menggunakan rang daftar pemilih terbaru dalam urusan persempadanan semula itu adalah melanggar perlembagaan, tidak selaras dengan Seksyen 3 Jadual Ketiga Belas Perlembagaan Persekutuan, dan oleh itu adalah tidak sah dan terbatal.

Mohamed Azmin memfailkan permohonan itu atas alasan SPR bertindak dengan tidak mengikut perlembagaan, tidak wajar dan tidak rasional berlandaskan Perkara 113(2) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau juga memohon mendapatkan, antara lain, satu perisytiharan bahawa notis yang disiarkan tidak mempunyai butiran terperinci, di mana pemilih biasa, pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri tidak boleh melaksanakan hak mereka untuk membuat representasi.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS