Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS minta PKR henti politik munafik
Diterbitkan:  Jul 20, 2017 2:41 PM
Dikemaskini: 8:02 AM

PAS menasihati PKR supaya berhenti daripada mengamalkan "politik munafik flip flop" dan tidak menuding jari menyalahkan pihak lain.

Anggota Jawatankuasa Pusat PAS Mokhtar Senik berkata sebelum memberikan kata dua kepada partinya PKR perlu bermuhasabah dan mengubah sikap terlebih dulu.

"Hentikan politik munafik flip flop yang menjadi amalan PKR kini dengan sering suka menunding jari kepada pihak lain," katanya dalam kenyataan terbuka hari ini.

Mokhtar yang juga pemimpin penting parti itu di Pahang menasihati PKR agar tidak mengugut selepas parti itu sering menggugut dan mengguris perasaan PAS.

"Kini pandai pula nak ugut agar PAS jangan uji kesabaran PKR konon seolah-olah PKR ini parti suci murni berhati mulia tinggi yang sering menjadi mangsa buli PAS.

"Sebelum nak ugut PAS dengan kata dua lebih baik PKR muhasabah diri dan ubah sikap terlebih dahulu," katanya.

Mokhtar dipercayai mengulas kenyataan dibuat Naib Presiden PKR Tian Chua yang kesal dengan tindakan PAS menggerakkan jentera pilihan raya di Permatang Pauh pada Ahad lalu.

Siapa cabar PAS dulu

Tian yang juga anggota parlimen Batu berkata langkah dibuat PAS itu suatu provokasi dan angkuh.

"Sikap ini bercanggah dengan kenyataan pemimpin-pemimpin PAS yang menganggap ia masih sebahagian daripada pihak pembangkang yang ingin mengalahkan Umno-BN pada pilihan raya umum (PRU) ke-14 kelak," katanya.

Permatang Pauh ialah kerusi yang dekat dengan PKR dan kini diwakili presiden parti itu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Pada PRU kesembilan (2004) PKR mempunyai wakil tunggal di Dewan Rakyat melalui kerusi parlimen berkenaan.

PAS pula memang pernah memenangi kerusi berkenaan, tetapi ia berlaku pada PRU kelima 39 tahun silam.

Jentera pilihan raya PAS di Permatang Pauh dilancarkan oleh naib presidennya, Idris Ahmad.

Mokhtar berkata PKR juga wajar melihat wajah mereka sendiri dengan siri tindakan mereka yang melukakan perasaan PAS.

Antara isu yang dibangkitkan Mokhtar ialah:

  • Siapakah khianat menyokong calon Parti Amanah Negara pada pilihan raya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar ketika ia adalah kerusi tradisi PAS. Ketika itu PKR masih ada tahaluf siyasi dengan PAS
  • Siapakah yang merampas kuota satu jawatan exco kerajaan Selangor setelah Datuk Seri Azmin Ali menjadi menteri besar
  • Siapakah yang mengadakan mesyuarat sulit di rumah Datuk Kamaruddin Jaafar dengan berselindung di sebalik jamuan raya untuk berbincang menubuhkan pakatan pembangkang baru tanpa melibatkan PAS
  • Siapa yang mencabar PAS untuk meletakkan calon di semua kerusi di tandingi PKR pada PRU ke-14 nanti - kalau bukan Pemuda PKR
  • Siapa yang kata Pak Lebai tersungkur di tempat sendiri ada hati nak tawan Selangor kalau bukann timbalan presiden PKR
  • Siapa yang menyindir tajam: "Pak Haji korup bukan pemimpin kita" ketika isu fitnah PAS terima RM90 juta dari dana 1MDB sedang hangat dijaja
  • Siapakah pemimpin PKR yang secara terbuka menyerang PAS walaupun tahaluf siyasi masih ada kalau bukanya orang seperti Rafizi Ramli dan Datuk Saifuddin Nasution Ismail.
  • Siapakah yang menjemput Ahli Parlimen Tumpat menyertai PKR ketika PKR masih ada tahaluf siyasi dengan PAS.

"Jadi siapa yang menguji kesabaran sebenarnya kalau bukannya PKR sendiri sering mengguris hati dan perasaan PAS?" kata Mokhtar.

Lihat Komen
ADS