Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Adakah Dr M buat pusingan-U jika HARAPAN menang PRU?

Ramai yang menarik nafas lega selepas Pakatan Harapan akhirnya memuktamadkan barisan kepimpinannya, namun masih ada, terutama di kalangan penyokong tegar gerakan Reformasi, yang agak tidak selesa melihat bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi gabungan itu.

Kebimbangan mereka itu dapat difahami. Lagipun, bagi mereka, orang inilah yang sebelum ini pernah bertanggungjawab menyebabkan ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim merengkuk di penjara.

Malah, mereka yang tidak benar-benar mengikuti politik pun tahu bahawa tindakan Mahathir memecat Anwar daripada jawatan timbalan perdana menteri telah melahirkan gerakan Reformasi pada tahun 1998.

Jadi, bolehkah dia dipercayai untuk memastikan Anwar akan menjadi perdana menteri kelapan negara sekiranya HARAPAN muncul sebagai pemenang dalam pilihan raya umum ke-14?

Dan walaupun Mahathir dilihat tidak menyukai Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, yang terbukti melalui kritikan tanpa hentinya terhadap Najib dan malah tindakannya keluar Umno bagi kali ketiga (Mahathir pertama kali dipecat dari parti itu oleh Tunku Abdul Rahman pada 1969), apa yang akan berlaku jika Umno memutuskan untuk meninggalkan Najib?

Adakah Mahathir akan meninggalkan Pakatan Harapan dan kembali semula kepada Umno, parti yang diterajuinya selama lebih daripada 20 tahun?

Lagipun, ia bukan kali pertama beliau kembali semula ke pangkuan parti politik terbesar di negara ini.

Atau adakah Mahathir, seperti dua orang pendahulunya, kekal di luar Umno sehingga nafas terakhirnya?

Seberangi 'garis merah'

Mengulas mengenainya, setiausaha agung PKR Datuk Saifuddin Nasution Ismail percaya bahawa Mahathir telah lama menyeberang "garis merah".

"Semakin saya terlibat dengannya (Mahathir), saya hanya boleh membuat kesimpulan bahawa beliau tidak akan berpatah balik.

"Walaupun sumber kemarahan boleh jadi Najib sahaja, tetapi pada masa ini saya fikir dia menyedari bahawa keseluruhan sistem itu korup.

"Saya tidak ragu untuk mempertikaikan keikhlasan, komitmen dan dedikasi beliau untuk bekerjasama dengan pembangkang," kata Saifuddin kepada Malaysiakini.

Walaupun ada kemungkinan Mahathir mengkhianati HARAPAN jika Umno menolak Najib, penganalisis politik Khoo Kay Peng menegaskan bahawa keadaan akan berubah jika HARAPAN menang dalam pilihan raya umum.

"Anggota Umno akan berduyun-duyun menyertai Bersatu," katanya.

Khoo juga percaya bahawa Mahathir mungkin terbuka untuk bekerjasama dengan Umno kerana beliau "masih mempunyai nilai jenama yang kuat untuk orang Melayu".

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS