Paling Popular
Terkini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita
Ribuan berhimpun bantah penutupan Masjid Al-Aqsa

Ribuan rakyat Malaysia hari ini berhimpun di luar perkarangan Kedutaan Amerika Syarikat di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur bagi membantah penutupan Masjid Al-Aqsa di Baitulmuqadis.

Perarakan dari Masjid Tabung Haji bermula selepas solat Jumaat dengan peserta membawa sepanduk 'Selamatkan Palestin', 'Bebaskan Al-Aqsa' dan mengibarkan bendera Palestin.

Perhimpunan secara aman ini adalah anjuran Al-Quds Fundation Malaysia (QFM) dan Aqsa Syarif agensi dibawah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) serta badan bukan kerajaan yang lain.

Ini adalah sebagai satu penegasan dan usaha bersama demi pembebasan Masjid Al-Aqsa dari kepungan tentera regim Zionis.

Mereka juga menghantar memorandum gesaan pembebasan Masjid Al-Aqsa ke Kedutaan Amerika Syarikat(US).

Bercakap kepada media selepas menyerahkan memorandum itu Pengerusi Mapim, Mohd Azmi Abdul Hamid memberi amaran kepada kerajaan Amerika bahawa negara itu akan menerima kesan daripada apa yang dilakukan tentera Israel.

"Kamu (Amerika) akan menerima beban daripada Israel yang melakukan keganasan dan apa yang dipanggil kekejaman terhadap Masjid Al-Aqsa. Kamu yang menyokong Israel, sebab itu Israel berleluasa pokoknya Amerika adalah dalang kepada apa yang dilakukan Israel.

"Hatta sekarang mereka berani menceroboh dan mengganas dalam Masjid Al-Aqsa

"Saya mengatakan kepada Amerika, kalau kamu terus menyokong Israel kamu akan menerima implikasinya. 1.6 bilion umat Islam tidak akan duduk sahaja, kita akan bertindak dan membangkitkan semangat melawan serta menentang apa yang dilakukan Israel," kata Azmi kepada pemberita.

Selain itu, Azmi berkata dalam memorandum berkenaan, pihaknya turut menuntut 12 perkara.

Antara tuntutan itu adalah supaya Presiden Amerika Donald Trump memutuskan segala sokongan negara itu kepada Israel kerana mereka akan membayar harga setiap kekejaman yang dilakukan rejim Yahudi itu.

Mereka juga menuntut Masjid Al-Aqsa dikembalikan kepada rakyat Palestin kerana ia adalah hak orang Islam.

Media Arab sebelum ini melaporkan polis Israel menutup Masjid Al-Aqsa dan tidak membenarkan solat Jumaat diadakan di sana selepas tiga penduduk Palestin dan dua polis Israel terbunuh dalam pertempuran bersenjata di perkarangan masjid berkenaan.

Susulan insiden itu, polis Israel mengarahkan orang ramai beredar dari Masjid Al-Aqsa dan menutupnya kepada orang ramai.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu pada 16 Julai mengumumkan kawasan Masjid Al-Aqsa yang ditutup akan dibuka semula secara berperingkat. Penutupan kali pertama Masjid Al-Aqsa dalam tempoh lima dekad lalu telah meningkatkan ketegangan Israel-Palestin.

Turut hadir dalam perhimpunan secara aman ini ialah, Penasihat Umum Parti AMANAH Negara (AMANAH) Ahmad Awang, Pengerusi QFM, Dr Shariff Amin, Pengerusi MyCARE, Prof Dr Hafidzi Mohd Noor dan Ahli Lembaga Pemegang Amanah MyCARE, Dr Fauziah Mohd Hasan.

Lihat Komen
ADS