Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AG: Penguatkuasa boleh guna senjata api jika nyawa terancam
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 5:15 PM
Dikemaskini: 9:25 AM

Pegawai dan anggota pasukan penguatkuasaan seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dibenar menggunakan senjata api bila nyawa terancam ketika menjalankan tugas dengan pelancaran Garis Panduan Penggunaan Senjata Api (Semasa Menjalankan Tugas) 2017 hari ini.

Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata garis panduan lengkap yang berkuat kuasa serta-merta itu adalah penambahan kepada garis panduan senjata api yang sedia diguna pakai oleh agensi-agensi penguatkuasaan di negara ini berhubung tatacara penggunaan senjata api.

Beliau berkata penyediaan garis panduan ini tercetus berikutan insiden yang menimpa seorang pegawai kastam Anisah Ali yang maut selepas kenderaan dinaiki bersama dua rakan ketika bertugas dilanggar tonto di Kampung Banggol Chicha, Pasir Mas Oktober lalu.

"Berikutan kejadian itu, terdetik di hati saya bahawa kejadian ini berlaku kerana kurangnya pendedahan dan pengetahuan mengenai prosedur penggunaan senjata api dalam kalangan anggota penguat kuasa semasa menjalankan tugas,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Suku Tahunan Jabatan Peguam Negara di Putrajaya hari ini.

Disember lepas, katanya, beliau mengarahkan Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara untuk menubuhkan satu pasukan khas bagi mengkaji semula tatacara penggunaan senjata api sedia ada yang digunapakai di semua agensi penguatkuasa di Malaysia.

Ditanya sama ada garis panduan ini adalah penambahbaikan, Mohamed Apandi berkata, 'Ia bukan penambahbaikan tetapi sebenarnya inovatif kerana sebelum ini tiada. SOP awal hanya mengandungi tatacara selamat menyimpan senjata api.

"Tiada garis panduan sebenar mengenai bagaimana dan bila untuk menggunakan senjata api oleh anggota agensi penguatkuasaan. Ini adalah garis panduan baharu, sebagai panduan kepada pegawai penguat kuasa untuk memastikan dan memberitahu mereka di mana dan dalam keadaan bagaimana senjata api boleh digunakan.

“Khususnya, mula sekali perlu beri amaran sebelum melepaskan tembakan ke arah seseorang. Paling penting , mereka boleh gunakan senjata api apabila berasakan nyawa mereka terancam. Itu pertimbangan utama, dan semua garis panduan  ini adalah selaras dengan peruntukan undang-undang," katanya.

Ditanya jika ia adalah wajib, Mohamed Apandi berkata ia sebagai garis panduan, bagaimanapun, pegawai penguat kuasa yang menggunakan senjata api tanpa pertimbangan ewajarnya boleh didakwa kerana seseorang tidak boleh melepaskan tembakan sewenang-wenangnya.

Kepada soalan sama ada garis panduan itu dapat mencegah daripada berulangnya kes kematian remaja Aminulrasyid Amzah yang terkena tembakan polis pada  April 2010, beliau berkata: "Ia akan dapat mencegah banyak kes. Kamu (pemberita) memikirkan tentang mangsa, saya lebih memikirkan tentang banyak anggota agensi penguatkuasaan yang dibunuh ketika menjalankan tugas kerana mereka teragak-agak untuk menggunakan senjata api. Kini,saya beritahu yang mereka boleh gunakannya. Ia baik untuksemua orang khususnya penguatkuasaan dan orang awam”.

Terdahulu, Mohamed Apandi dalam ucapannya mengakui tugas sebagai anggota penguat kuasa di mana-mana agensi dipenuhi dengan pelbagai cabaran dan terdedah kepada bahaya.

"Insya-Allah, dengan adanya garis panduan ini, saya berharap ia sedikit sebanyak dapat membantu semua pihak dalam memastikan sesuatu pendekatan yang konsisten diambil dalam soal penggunaan senjata api oleh anggota-anggota penguat kuasa semasa menjalankan tugas murni masing-masing. 

Selain SPRM dan Kastam, beliau turut merakamkan penghargaan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia, Kementerian Dalam Negeri, Jabatan Pengangkutan Jalan, Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia, Jabatan Penjara Malaysia, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan), dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan dalam penyediaan garis panduan itu.

Di majlis sama, Mohamed Apandi turut melancarkan AGC ke Arah Pensijilan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) 2017, yang memberi fokus utama ke arah penyediaan persekitaran, budaya kerja serta nilai amalan baik bagi warga agensi sektor awam.

Katanya Jabatan Peguam Negara sedang dalam proses untuk mendapatkan pensijilan EKSA, dan beberapa siri penerangan dan kursus EKSA telah diadakan sejak April lalu bagi memastikan semua warga AGC faham dan komited terhadap usaha mendapatkan pensijilan tersebut.

Katanya EKSA turut menerapkan beberapa elemen termasuk penampilan imej korporat, pembudayaan kreativiti dan inovasi, penerapan aspek amalan hijau di pejabat, penyediaan persekitaran kondusif dan mesra pelanggan serta kepelbagaian agensi.

Mohamed Apandi yang memegang jawatan sebagai Peguam Negara sejak 27 Julai 2015 berkata tarikh keramat itu sentiasa menginsafkan beliau betapa beratnya amanah dan tanggungjawab yang disandang demi negara, dan ia tidak dapat dilakukan tanpa kekuatan dan sokongan warga Jabatan Peguam Negara. 

Beliau turut memeriahkan sambutan Aidilfitri Jabatan Peguam Negara. Turut hadir Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif.

- Bernama

Lihat Komen
ADS