Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
CJ: Kes timbalan KP JPJ dikembalikan semula ke mahkamah majistret
Diterbitkan:  Jul 21, 2017 9:21 PM
Dikemaskini: Jul 22, 2017 9:52 AM

Ketua Hakim Negara, Tan Sri Md Raus Sharif berkata kes kesalahan lalulintas Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), Datuk Yusoff Ayob telah dikembalikan semula ke mahkamah majistret.

Beliau mempersoalkan bagaimana seseorang boleh mengaku bersalah melalui seorang wakil.

"Kes telah dikembalikan semula ke mahkamah majistret. Bagaimana kamu boleh mengaku bersalah menggunakan wakil,” katanya dalam majlis hari raya di Istana Kehakiman, Putrajaya hari ini.

Pendaftar Mahkamah Persekutuan Latifah Mohd Tahir ketika ditemui mengesahkan kes itu telah dihantar kembali ke mahkamah majistret dan kini telah ditetapkan untuk disebutkan pada 25 Julai.

Pejabat pendaftar Mahkamah Persekutuan dalam satu kenyataan berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman telah mengarahkan Yusof didakwa semula, semasa satu semakan hari ini.

Ab Karim menjalankan kuasa semakannya untuk mengetepikan sabitan dan hukuman majistret dan kes itu dikembalikan semula ke Mahkamah Majistret untuk dibicarakan di hadapan Majistret yang lain pada 25 Julai 2017.

Menurut kenyataan itu lagi, ia menurut Seksyen 323 Kanun Tatacara Jenayah.

Seksyen 323. (1) menyatakan bahawa seorang Hakim boleh memanggil dan memeriksa rekod mana-mana prosiding di hadapan mana-mana Mahkamah Rendah Jenayah untuk tujuan memuaskan dirinya tentang kebenaran, kesahihan atau kesesuaian apa-apa dapatan, hukuman atau perintah yang direkodkan atau diluluskan, mengenai ketetapan apa-apa prosiding dari Mahkamah rendah itu.

Dilaporkan pada 18 Julai lalu bahawa Yusoff, 58, didenda selepas pegawai khasnya hadir bagi pihaknya dan mengaku bersalah memandu di lorong kecemasan di dalam kereta dengan nombor plat BLY 68 di Lingkaran Putrajaya, Putrajaya kira-kira jam 6.27 malam 7 Oktober tahun lepas.

Majistret Nik Isfahanie Tasnim W Ab Rahman mengenakan denda sebanyak RM600 atau tujuh hari penjara.

Pegawai khas Yusoff membayar denda itu bagi pihaknya.

Peguam Syahredzan Johan telah berkata bahawa Yusoff mungkin dikenakan hukuman lebih berat jika jawatan kanannya dibawa ke perhatian mahkamah.

Notis editor: Versi terdahulu berita ini menyatakan bahawa Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif telah mengarahkan supaya kes tersebut dihantar kembali ke mahkamah majistret. Perintah itu dibuat oleh Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Ab Karim Ab Rahman. Kesilapan itu adalah dikesali.

Lihat Komen
ADS