Tentang boneka yang menggadai negara

       

Penubuhan Pakatan Harapan baru baru ini dicemburui oleh banyak pihak. Saya telah membaca komen Setiausaha Akhbar Perdana Menteri Datuk Tengku Sarifuddin Tengku Ahmad, tentang tuduhan beliau yang Tun Mahathir Mohamad "hanya boneka" kepada Pakatan Harapan.

Saya rasa bukan saya sahaja yang ketawa sinis atas tuduhan yang melucukan dan terdesak ini. Mereka yang kenal Mahathir sudah tentu tahu mindanya yang tidak sebegitu mudah didominasi oleh mana mana pihak jauh sekali hendak menjadi "boneka" mana mana pihak dalam negara sendiri.

Suara dan kuasa besar Amerika, Britain dan Australia pernah beliau tentang secara terbuka dan tegas sehingga dikagumi dunia umum.

Kalau pendirian Mahathir dahulu diibaratkan suara "Singa dunia membangun dan dunia ketiga", suara Datuk Najib adalah seperti suara "kucing berbisik di balik tabir".

Datuk Seri Najib Razak hanya berkokok di tempat sendiri seperti jaguh kampung, tetapi membisu di pentas dunia antarabangsa.

Beliau hanya terkenal baru-baru ini dipentas antarabangsa sebagai juara kleptokrasi sedunia tampa tanding! Ini adalah fakta yang nyata yang memalukan.

Sebenarnya memang wujud boneka di Putrajaya tetapi ia bukan di Pejabat Yayasan Perdana, pejabat Mahathir. Definasi boneka adalah seseorang yang mengikut telunjuk dan arahan pihak luar.

Contohnya adalah apabila suara dan kepentingan negara luar diberi keutamaan mengatasi kepentingan negara sendiri.

Contohnya apabila seorang pemimpin telah menerima "wang derma" RM2.6 bilion dari kononnya keluarga Raja Saudi dan mengikut kehendak dan telunjuk negara tersebut.

Contohnya apabila Malaysia menyertai sekutu Arab Saudi bersama dengan Amerika, Britain dan Perancis bersekongkol menyerang negara Islam kecil yang lemah Yaman seperti terkandung dalam laporan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu bertarikh 12 Januari 2017.

Berpuluh ribu orang awam terbunuh serta berbelas juta rakyat Yaman kebuluran dan dilanda wabak kolera secara meluas.

Contohnya apabila Malaysia menyertai latihan perang "North Thunder" di Arab Saudi atas permintaan negara itu bersama sekutu Saudi dari benua Arab dan Afrika yang tiada negara Islam lain pun dari luar benua tersebut seperti Turki atau Indonesia menyertainya.

Lagi contoh ciri-ciri "boneka" adalah penjualan borong besar besaran projek dan harta tanah Malaysia kepada negara Republik Komunis China kerana menagih terlalu sangat wang negara China.

Contohnya adalah apabila tanah di Johor Bharu di jual mudah sebagai pegangan bebas kepada warga China dengan 700,000 unit dalam satu projek sahaja diserah warga negara China.

Sebahagian besar Johor Baharu akan menjadi milik warga asing China.

Yang paling lebih berbahaya dan mengancam keselamatan negara bawah "boneka" ini adalah apabila bukan pemimpin kita hanya di pengaruhi oleh faktor kewangan tetapi juga penyerahan infrastruktur pelabuhan pelabuhan strategik negara kepada pihak negara China yang boleh mengugat keselamatan negara.

Pelabuhan strategik Kuantan, Johor Bharu, Melaka, Kelang, Bagan Datoh dan Pulau Pinang semuanya dirunding dengan syarikat negara China!

Mereka mahu kuasai Laut China Selatan dan Selat Melaka dan akan memegang kemas serta mendominasi Malaysia melalui pelabuhan pelabuhan ini. Di mana letaknya kedaulatan kita nanti?

Presiden Sri Lanka dahulu telah dibuang oleh rakyat sendiri kerana masalah dominasi keterlaluan kuasa China dan beberapa negara Afrika juga sedang melalui nasib yang sama.

Ini berlaku apabila pemimpin terlalu bergantung dan diboneka kan oleh kuasa luar China. Projek ECRL- kereta api Pantai Timur, adalah satu lagi projek mega yang akan diserahkan kepada negara China dengan pinjaman kewangan yang amat besar.

Bahaya jika dipengaruhi kuasa luar.

Kuasa besar Amerika, hubungan rapat Presiden Donald Trump dan kaitan perniagaan peribadi diri dan anak-anaknya dengan negara Komunis Rusia menjadi siasatan FBI dan peguam negara Amerika.

Trump telah memecat ketua FBI Amerika yang melakukan siasatan hubungan rapat Trump dengan Rusia sementara Najib pula dilihat telah memecat peguam negara Malaysia yang menyiasatnya dalam kes 1MDB.

Anak Trump yang berniaga besar mengiringi lawatan Trump keluar negara serta berunding dengan pihak Rusia.

Banyak persamaan antara situasi Najib dan Trump dalam menggunakan pengaruh untuk keuntungan peribadi!

Kalau rakyat Amerika negara kuasa besar merasa bimbang dominasi oleh Rusia ke atas Trump dan negara mereka, negara kerdil Malaysia patut lebih bimbang dan lagi banyak berwaspada pengaruh dominasi negara kaya serta ancaman dari kuasa besar negara China Komunis.

"Cash is King"- wang adalah raja kepada segala galanya.

Sekarang sudah nyata wang besar "derma" berbilion ringgit dari keluarga "Raja Saudi" telah dilihat mempengaruhi Najib untuk bersekongkol bersama dengan Arab Saudi, Amerika serta Britain menyerang Yaman.

Inilah pengaruh kuasa besar melalui wang dan mereka menjadikan pemerintah menerajui negara yang sepatutnya berdaulat menjadi boneka.

Mahathir bukan berkuasa hari ini, tetapi Najiblah ketua negara yang sebenarnya telah dibonekakan oleh Arab Saudi dan negara Komunis China dengan kuasa wang besar mereka.

Tengku Sarifuddin harus sedar bahawa boneka yang mengetuai negara serta berkuasa jauh lebih berbahaya daripada seorang bekas pemimpin yang sudah pun bersara dan berusia 92 tahun!

Boneka yang memegang kuasa sebagai perdana menterilah yang jauh lebih berbahaya dan patut dikhuathiri akan menjual dan menggadai negara Malaysia kita ini.


RAJA KAARULBAHRIN SHAH anggota parlimen Kuala Terengganu.

Tulisan ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda