Selama tempoh jawatannya sebagai perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan bertolak-ansur atau bertoleransi terhadap sebarang protes jalanan atau sebarang tentangan.
Namun, hari ini, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid, Mahathir yang kini adalah pengerusi Pakatan Harapan mahu menganjurkan himpunan "Sayang Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi”.
“Beliau orang yang menentang perhimpunan ketika menjadi PM dan menteri dalam negeri, kini apabila berada di sebelah sana, beliau pula (jadi) penganjur utama.
“Namun saya fikir jika seseorang itu berada di situasi berbeza, di waktu berbeza, saya fikir orang itu tidak ada prinsip.
“Seseorang yang ada prinsip, di mana pun beliau berada sama ada mempunyai kedudukan atau tidak, prinsip itu harus dipertahankan,” katanya pada sidang akhbar di Putrajaya hari ini.
Mengulas cadangan anjuran himpunan raksasa pada 14 Oktober ini, Zahid berkata, kerajaan akan membenarkannya jika pihak penganjur mematuhi syarat-syarat di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.
Pakatan Harapan telah memilih Padang Timur di Petaling Jaya sebagai tempat perhimpunan itu.
Mahathir, yang juga pengerusi BERSATU, mendakwa "puluhan ribu" peserta dijangka menghadiri perhimpunan tersebut.
Walau bagaimanapun, Zahid mendakwa BN tidak akan tergugat dengan perhimpunan itu.
“Kami merasakan ia tidak menyebabkan kerajaan khususnya BN berasa tergugat kerana sebelum ini pun perhimpunan BERSIH (telah) dilakukan beberapa kali.
“Kita tak rasa perhimpunan ini akan menyebabkan silent majority bersama-sama dengan mereka.
“Saya harap silent majority akan terus memberi kesinambungan kepada kerajaan yang memerintah,” katanya.