Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis Malaysia bebaskan bekas pemimpin PULO
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 6:59 PM
Dikemaskini: 11:04 PM

Bekas pemimpin kanan Pattani United Liberation Organisation (PULO), Ismail Ternang yang ditahan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) sejak hampir sebulan lalu, telah dibebaskan dan kini berada di pangkuan keluarganya di Pattani, selatan Thailand.

Ismail, yang ditahan polis Malaysia di kedai makan milik keluarganya di Perak pada petang 18 Jun bagi membantu siasatan berkenaan kegiatan penyeludupan senjata, telah dibebaskan pada 13 Julai lalu.

Katanya sepanjang 26 hari berada dalam tahanan PDRM, beliau diberi layanan baik oleh pihak berkuasa negara itu dengan beliau dapat menunaikan kewajipan agama serta dibenarkan menerima lawatan anggota keluarganya.

"Polis datang ke kedai makan saya kira-kira 2 petang pada 18 Jun lepas kerana mengesyaki saya terlibat dengan penyeludupan senjata api tetapi selepas dua jam memeriksa, mereka tidak menemui apa-apa," katanya kepada Bernama dalam temu ramah di rumahnya di Pattani, baru-baru ini.

Menurutnya beliau kemudian dibawa ke Baling untuk membantu siasatan kes berkenaan.

Berita tentang penahanan Ismail telah dilaporkan Bernama.

Ismail berkata ketika di Baling, beliau disoal siasat oleh Polis Malaysia tentang seorang lelaki yang ditembak mati kerana disyaki terlibat dalam kegiatan penyeludupan senjata api di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini.

Dalam sidang media pada 18 Jun lalu, Polis Kedah mengesahkan ia menembak mati seorang lelaki pada kira-kira 4 pagi sehari sebelum itu dan menemukan pistol serta peluru dalam kenderaannya.

Menurut Ismail beliau ditahan selama 14 hari di Baling bagi membantu siasatan polis, sebelum dipindahkan ke Selangor bagi membantu siasatan tentang satu lagi kes jenayah.

Bekas pemimpin kanan PULO itu berkata ketika ditahan selama lima hari di Selangor, beliau diminta membantu siasatan berkenaan kehilangan seorang paderi sebelum dibebaskan pada 13 Julai.

Ismail, yang berusia dalam lingkungan 60-an, dihukum penjara seumur hidup oleh pihak berkuasa Thailand pada 1997 dan dibebaskan dua tahun lepas setelah menerima pengampunan daripada mendiang Raja Bhumibol Adulyadej.

Sejak dibebaskan, beliau membantu kerajaan Thailand dalam usaha menaik taraf kedudukan ekonomi dan sosial masyarakat Islam di selatan negara itu.

- Bernama

Lihat Komen
ADS