Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
MBI S'ngor nafi rasuah, ancam tindakan undang-undang
Diterbitkan:  Jul 25, 2017 9:18 PM
Dikemaskini: Jul 26, 2017 8:19 AM

Menteri Besar Selangor (Pemberbadanan) (MBI) hari ini mengancam tindakan undang-undang terhadap mereka yang menuduh agensi itu melakukan rasuah berhubung pembayaran yang dibuat kepada bekas kontraktor Universiti Selangor (UNISEL), Jana Niaga Sdn Bhd.

"Sebarang tuduhan salah laku dan penyelewengan oleh lembaga pengarah adalah fitnah dan kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana pihak yang membuat tuduhan tersebut," kata MBI dalam satu kenyataan.

Sambil menyangkal dakwaan pegawai khas kepada perdana menteri Datuk Rizal Mansor Ahad lalu, MBI berkata bayaran kepada Jana Niaga dibuat setelah melalui proses timbang tara.

"Rizal mendakwa penyelesaian pertikaian di antara Jana Niaga dan UNISEL menimbulkan pelbagai persoalan dan pihak MBI telah membuat bayaran kepada Jana Niaga walaupun pihak kontraktor telah mengingkari perjanjian dan dalam pada itu telah gagal dalam dua tuntutannya di Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan untuk menuntut tunggakan bayaran.

"Kenyataan ini adalah tidak benar sama sekali kerana berdasarkan fakta kes, pada Disember 2012 Mahkamah Tinggi Shah Alam telah memutuskan bahawa Jana Niaga dan UNISEL perlu menyelesaikan pertikaian mengikut proses timbang tara seperti yang diwajibkan di bawah kontrak kedua-dua pihak.

"Keputusan ini telah dipersetujui oleh Mahkamah Rayuan pada Julai 2013. Kedua-dua mahkamah ini tidak pernah memutuskan sama ada pihak Jana Niaga mahupun UNISEL berlaku salah tetapi hanya meminta kedua-dua pihak menyelesaikan pertikaian melalui proses timbang tara," katanya.

Kenyataan itu turut menafikan bahawa bayaran sebanyak RM60 juta telah dibuat kepada Jana Niaga.

Rizal pada Ahad lalu mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali menjelaskan dakwaan salah laku berhubung bayaran kepada kontraktor berkenaan yang tidak menunjukkan prestasi.

Rizal mendakwa bekas MB terdahulu, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menghentikan bayaran kepada kontraktor berkenaan apabila projek yang dianugerahkan tidak memuaskan.

Lihat Komen
ADS