Paling Popular
Terkini

PARLIMEN | Kelibat anggota Parlimen Marang, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak kelihatan di Dewan Rakyat kali ini kerana beliau dinasihati doktor supaya berehat selama dua bulan.

Setiausaha Agung PAS Datuk Takiyuddin Hassan berkata presidennya itu masih dalam rawatan selepas menjalani pembedahan menggantikan injap jantung di Institut Jantung Negara (IJN) baru-baru ini.

"Dia (Abdul Hadi) sekarang sedang dalam rawatan, tetapi pada bila-bila (masa) jika dia rasa OK, dia boleh datang ke parlimen," katanya kepada media di parlimen hari ini.

Takiyuddin berkata demikian sebagai menjawab soalan pemberita berhubung keadaan kesihatan Abdul Hadi serta ketiadaannya menghadiri sidang terkini Dewan Rakyat.

Kedudukan presiden itu sebelum ini menjadi perhatian pengkritik yang menganggap beliau selalu gagal hadir ketika sidang berlangsung, kecuali pada ketika tertentu.

Untuk rekod Abdul Hadi selamat menjalani pembedahan mengganti injap jantung di Kuala Lumpur pada 16 Mei lalu.

Dalam kenyataan ringkas IJN pembedahan selama tiga jam itu diketuai oleh Datuk Seri Dr Mohd Azhari Yakub dan kumpulannya dan perlukan rehat mencukupi bagi membolehkan keadaannya pulih seperti sedia kala.

Bagaimanapun difahamkan doktor menasihati Abdul Hadi untuk berehat selama dua bulan lagi.

Abdul Hadi bagaimanapun hadir dan menyampaikan ucapan di Ijtimak Ulama Antarabangsa di Kota Bharu, Kelantan 21 Julai lalu.

Kata Takiyuddin keadaan kesihatan Abdul Hadi ketika ini memuaskan.

Sementara itu ditanya mengenai nasib rang undang-undang persendirian Abdul Hadi yang dikemukakan bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 - atau Akta 355, Takiyuddin membayangkan PAS optimis mengenainya.

"Kalau dulu sempat (dibentangkan), (maka sidang kali) ini pun sempatlah," katanya.

Rang undang-undang Abdul Hadi itu dibawa ke Dewan Rakyat pada 6 April lalu untuk dibentang dan disokong. Takiyuddin sendiri - sebagai anggota parlimen Kota Bharu - berucap menyokong usul berkenaan.

Bagaimanapun, Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan sidang berkenaan sejurus selepas itu tanpa sempat ia dibahaskan.

Lihat Komen
ADS