Gabungan Mahasiswa Islam Semalaysia (Gamis) menganggap pembabitan pelajar dalam aktiviti luar kampus dan politik tidak sepatutnya dianggap sebagai faktor utama menurunnya pencapaian akademik pelajar Melayu di institusi pengajaian tinggi.
"Ini kerana, tidak sampai separuh daripada mahasiswa yang peka dengan politik kampus. Ini boleh dilihat semasa pilihanraya kampus diadakan, dan saya percaya ia berlaku di mana-mana univerisiti utama di negara ini," kata presidennya Kamarulzaman Abdullah ketika dihubungi malaysiakini hari ini.
Beliau mengulas laporan Utusan Malaysia hari ini yang menyebut kebimbangan beberapa tokoh pendidikan terhadap trend pelajar sekarang yang lebih cenderung menyertai kegiatan politik daripada menumpukan usaha mereka untuk menimba ilmu pengetahuan.
Kamarulzaman juga tidak bersetuju dengan pendapat tokoh pendidik yang membuat kesimpulan bahawa kebanyakan pelajar yang aktif berpolitik dan berpersatuan tidak menunjukkan keputusan cemerlang dalam akademik,
"Apa yang berlaku selalunya ialah mereka yang aktif berpersatuan cemerlang dalam akademik berbanding mahasiswa lain," jelasnya.
Keruntuhan akhlak pelajar
Presiden Gamis berkata kerajaan dan tokoh masyarakat, sepatutunya memberi perhatian kepada beberapa gejala sosial terutama keruntuhan akhlak pelajar dan unsur-unsur hiburan melampau yang mempengaruhi sebahagian pelajar kampus.
Kamarulzaman berkata, isu kelemahan akademik pelajar timbul kerana dicetus oleh perkembangan isu semasa yang mana masyarakat kini sedang hangat memperkatakan pembabitan pelajar dengan politik.
Mengulas mengenai dakwaan bahawa pelajar lelaki Melayu lebih cenderung kepada aktiviti luar dan politik, Kamarulzaman berpendapat perkara itu adalah lumrah.
Sementara itu, Pemangku Presiden Majlis Perwakilan Mahasiswa (MPM) Universiti Malaya Aznur Hafeez Kaswuri berkata kelemahan akadamik di kalangan pelajar tidak hanya berlaku pada mereka yang aktif berpolitik saja malah ia boleh berlaku kepada mana-mana pelajar.
"Tetapi masyarakat hanya nampak pada pelajar yang aktif berpolitik saja," katanya.
Pencapaian akademik
Menurut Aznur, UM telah menetapkan garis panduan bahawa mereka yang menjadi ahli MPM hendaklah mempunyai pencapaian purata CGPA 2.5 ke atas, yang dilaksanakan sejak tahun lepas.
Katanya lagi, berdasarkan satu kajian yang pernah dibuat, bilangan pelajar universiti tempatan yang aktif dalam kegiatan berpersatuan dan politik hanyalah 15 peratus daripada jumlah pelajar yang menuntut di IPTA.
"Justeru itu, bukanlah kerana pelajar itu aktif (berpersatuan dan politik) punca pencapaian akademiknya juga lemah," jelasnya lagi.
"Malah pada 1997 presiden majlis perwakilan pelajar universiti ini telah dianugerahkan sebagai antara pelajar yang mempunyai pencapaian akademik yang cemerlang," tambahnya.
