Pemilik lot kedai Simpang Kuala, Alor Star menghadapi masalah untuk membesarkan perniagaan mereka kerana institusi kewangan enggan mengeluarkan pinjaman kerana tidak memiliki geran hakmilik individu.

Selain itu, kata Pengerusi Pemilik Kedai Simpang Kuala, Abdul Samad Abdul Karim, pemilik lot kedai berkenaan juga tidak dapat menjualnya kerana pihak bank tidak mahu membiayai pembelian tersebut.

Menurutnya, ada juga bank yang pada mulanya bersetuju meluluskan permohonan pinjaman, tetapi kemudiannya menarik balik tawaran pinjaman itu kerana peminjam gagal menyediakan geran hakmilik individu.

"Ketiadaan geran berasingan juga menyebabkan hartanah di Simpang Kuala telah susut nilai dan jauh lebih rendah daripada tempat lain di bandaraya Alor Star," katanya.

Abdul Samad berkata, geran utama dipegang oleh Pejabat Tanah Kota Setar kerana pemilik tanah projek rumah kedai tersebut Yayasan Islam Negeri Kedah (YINK) tidak membayar sepenuhnya premium tanah bernilai RM7.8 juta kepada pejabat berkenaan.

Projek lot kedai Simpang Kuala itu mengandungi 177 lot dua tingkat dan tiga tingkat, yang dimajukan oleh Dayani Sdn Bhd.

Minta bantuan MB Kedah

Setakat ini, YINK hanya membayar RM91,275 jumlah premium tersebut pada tahun 2002 tetapi kini tunggakannya sudah mencecah lebih RM8.juta termasuk penalti kerana gagal membuat pembayaran seterusnya sejak tiga tahun lalu.

Menurutnya, para pemilik telah melakukan pelbagai usaha termasuk pernah menemui Menteri Besar Datuk Seri Syed Razak Syed Zain untuk meminta beliau membantu menyelesaikan masalah mereka.

Katanya, Syed Razak berjanji untuk menyelesaikan masalah tersebut pada bulan Jun lalu tetapi sehingga hari ini tidak ada sebarang perubahan.

"Kami juga menemui beberapa pihak lain seperti Exco Perumahan, Datuk Ahmad Bashah Haniffah, Pejabat Tanah Kedah, Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan ahli Parlimen tetapi tetap semuanya tidak membawa hasil," katanya.

Menurut Abdul Samad lagi, semasa membuat perjanjian jual beli kira-kira 10 tahun lalu, YINK menyatakan pembeli akan mendapat geran hakmilik individu selepas mereka menandatangi perjanjian pembelian tersebut.

"Bagaimanapun ia tidak menjadi kenyataan. Sebaliknya selepas hampir 10 tahun, para pembeli masih belum mendapat geran masing-masing," katanya.