Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Isu tanah Gatco: K’jaan negeri tak teragak-agak bertindak, kata MB
Diterbitkan:  Jul 26, 2017 9:47 PM
Dikemaskini: 1:49 PM

Kerajaan negeri tidak akan tunduk dengan mana-mana pihak yang cuba menghalang pembangunan tanah ladang Kampung Serampang Indah (Gatco) di Jempol, dekat Seremban, demikian ditegaskan Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.

Beliau berkata pihaknya tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang sekiranya mana-mana pihak didapati cuba menghalang penjawat awam daripada melaksanakan tugas pembangunan projek tanaman semula getah di kawasan berkenaan seperti yang dipersetujui penduduk sebelum ini.

“Setelah banyak kali kes ini dibawa ke peringkat mahkamah sehingga Mahkamah Tinggi Persekutuan juga menolak kes ini, namun penyalahgunaan proses mahkamah tetap berlaku dengan cara menggunakan segelintir penduduk oleh pihak berkepentingan untuk menghalang kerajaan menjalankan projek penanaman semula getah,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Seremban, hari ini.

Beliau mengulas tindakan segelintir penduduk yang masih tidak berpuas hati dengan tawaran penyelesaian yang diusahakan kerajaan bagi mengatasi kemelut tanah ladang Gatco itu.

Katanya kerajaan negeri mempunyai tanah seluas 485.76 hektar di kawasan berkenaan yang akan dibuat penanaman semula yang mana ia akhirnya akan memberi manfaat dan membantu penduduk di situ.

“Dalam tempoh lima ke berapa tahun sementara menunggu hasil selepas penanaman semula dibuat, mereka akan mendapat elaun bulanan daripada Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA).

“Rundingan dengan Risda juga telah dibuat dan Risda telah diberikan peruntukan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah dan Bahagian Kemajuan Tanah dan Wilayah, mereka ini bukan sahaja dapat elaun bulanan tanaman semula tetapi akan dapat pokok yang akan ditanam,” katanya.

Mohamad juga berharap agar penduduk yang menjadi tali barut kepada pihak yang mahu melihat usaha penyelesaian tanah ini tidak dapat dilaksanakan agar memikirkan tindakan itu secara waras.

“Saya minta penduduk jangan terperangkap dengan hasutan dan pujukan daripada orang yang ada kepentingan bahkan kerajaan tidak ada niat atau apa pun unsur penganiayaan kerana niat kita untuk tolong orang teraniaya selama lebih 47 tahun,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad berkata Setiusaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Mat Ali Hassan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan yang juga merupakan anggota Exco Datuk Abu Ubaidah Redza akan menjadi bapa angkat kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng susulan ADUN kawasan berkenaan Datuk Ishak Ismail yang telah meninggal dunia baru-baru ini.

- Bernama

Lihat Komen
ADS