Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) menerima teguran Ketua Polis Negara, Tan Sri Polis Khalid Abu Bakar berhubung tindakannya menyerbu premis syarikat pajakan kereta, AGR Auto Trade Holding Berhad baru-baru ini.

Bagaimanapun, ketua aktivisnya Datuk Nadzim Johan berkata, PPIM mahu satu perbincangan diadakan bersama Khalid supaya masalah yang sama membabitkan skim pajakan kereta tidak berulang.

"Saya pun dari keluarga polis, takkanlah saya nak bergaduh dengan polis.

"Cuma kita minta polis kasihanlah dekat kita. Kita ini nak bantu (pemilik kereta) dan mungkin kita boleh adakan satu kaedah di mana kita boleh buat aduan terus kepada pihak tertentu di Bukit Aman.

"Mungkin kita dapat duduk dengan IGP mencari satu kaedah bagi memudahkan semua pihak supaya lain kali tak jadi lagi perkara itu," kata Nadzim kepada Malaysiakini.

Nadzim berkata demikian mengulas kenyataan Khalid kelmarin yang menasihati PPIM supaya mematuhi undang-undang negara dan tidak bertindak di luar batas.

Menurut Khalid, pihaknya juga sedang menjalankan siasatan terhadap kedua-dua laporan polis yang dibuat oleh PPIM dan syarikat pajakan kereta berkenaan.

'Nak merajuk'

Mengulas lanjut, Nadzim berkata pihaknya telah cuba sebaik mungkin bagi menyelesaikan perkara tersebut namun tetap dianggap salah.

"Kita tak tahu nak buat apa. Buat itu tak betul, buat ini tak betul. Kita nak rehatlah, tak payah buat apa-apa. Kita nak merajuklah kalau begitu," kata Nadzim berseloroh.

Kata Nadzim, PPIM begitu berharap agar agensi yang terlibat turut sama dalam menyelesaikan perkara tersebut.

"Kita buat bukan dapat duit pun bahkan duit penunda kereta ini kita pula yang kena tanggung. Jadi, kita harapkan agensi yang terlibat ini buatlah tindakan segera dan tak perlu tunggu laporan, nak tunggu orang (pemilik kereta) bankrap," tegas Nadzim.

Sebelum ini, PPIM didakwa menceroboh AGR dengan alasan untuk membantu pemilik kereta yang didakwa teraniaya dengan skim pajakan kereta.

Modus operandi syarikat tersebut menggunakan kaedah sambung bayar kenderaan menerusi satu perjanjian yang didakwa tidak menguntungkan pemiliknya.

Pemilik kenderaan dijanjikan kereta yang mereka pajak itu mempunyai penyewa dan mereka tidak akan mempunyai masalah pembiayaan dengan institusi kewangan.

Kekecohan pada 11 Julai lalu itu menjadi tular selepas video aktivis PPIM membantu pemilik kereta mendapatkan semula kenderaan mereka tersebar luas di media sosial.

Pada 24 Julai lalu, PPIM bersama AGR mengadakan pertemuan dan dilapor mencapai kata sepakat apabila syarikat itu bersetuju menyerahkan lima buah kenderaan dan 53 kunci kereta kepada pemilik.

Pengarah Unit Tindakan Khas PPIM, Yusuf Azmi dilapor berkata, perbincangan selama hampir empat jam itu merupakan satu titik permulaan ke arah penyelesaian masalah berkenaan.

Lihat Komen
ADS