Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Doktor tentera bebas 6 tuduhan salah guna alat hospital
Diterbitkan:  Jul 27, 2017 5:11 PM
Dikemaskini: 9:21 AM

Mahkamah Sesyen Shah Alam hari ini melepaskan dan membebaskan Pakar Patologi Hospital Angkatan Tentera Tuanku Mizan (HATTM), Kolonel Dr R Kunaseegaran daripada enam tuduhan salah guna peralatan tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Hakim Slamat Yahya turut melepaskan dan membebaskan bekas pembantu juruteknologi makmal HATTM, Yazid Lamin, 47, daripada tiga tuduhan bersubahat dengan Dr Kunaseegaran, 54, membawa keluar peralatan makmal patologi HATTM tanpa pengetahuan hospital itu.

Mahkamah membuat keputusan itu selepas berpuas hati pembelaan kedua-dua tertuduh berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Dr Kunaseegaran, yang direman di Penjara Sungai Buloh turut menghadapi tuduhan bersubahat dengan tujuh lelaki lain dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais (gambar), dua tahun lepas.

Bagi enam tuduhan itu, Dr Kunaseegaran didakwa menggunakan harta kepunyaan HATMM termasuk alat 'Microtome', 'Microtome Rotary System' dan 'Circular Parafin Floating Bath' tanpa pengetahuan pihak hospital berkenaan, di No 23 dan No 26 Galeri Empire, Jalan Empayar melalui Jalan Sultan Ibrahim, Klang pada Jun 2010 dan April 2012.

Kesemua pertuduhan di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebat, serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sementara itu Yazid yang juga bekas pegawai waran tentera dituduh bersubahat dengan Dr Kunaseegaran dengan membawa keluar harta kepunyaan hospital itu, antaranya alat 'Microtome' berjenama Thermo Shandon Finesse E+ dan 'Microtome Rotary System' berjenama Leica tanpa pengetahuan hospital berkenaan.

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Clinipath (Malaysia) Sdn Bhd, No 23, Galeri Empire, Jalan Empayar, Off Persiaran Sultan Ibrahim/KU 1, Klang, pada Jun 2010.

Keterangan saksi konsisten

Yazid yang sebelum ini berkhidmat selama 25 tahun dalam Angkatan Tentera Malaysia dituduh mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 403 kanun yang sama, yang membawa hukuman penjara sehingga lima tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Ketika menjatuhkan hukuman, Slamat berkata, setelah meneliti keterangan semua saksi pendakwaan, eksibit dan pembelaan kedua-dua tertuduh, mahkamah mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan siapa yang membawa ketiga-tiga peralatan berkenaan (seperti dalam pertuduhan) ke makmal.

"Kedua-dua tertuduh menafikan ada memberi arahan atau memindahkan peralatan itu, bahkan tiada catatan untuk buktikan bahawa kedua-dua tertuduh telah memindahkan peralatan itu.

"Tiada asas untuk menunjukkan kesemua peralatan itu ada didaftar di HATMM dengan sempurna dan kegagalan saksi pendakwaan ke-12 (kakitangan yang mendaftarkan peralatan) berbuat demikian menjadikan beliau seorang saksi yang tidak kredibel.

"Keterangan saksi pendakwaan juga konsisten dengan pembelaan kedua-dua tertuduh bahawa peralatan-peralatan tersebut digunakan untuk tujuan latihan.

"Justeru, walaupun pembelaan kedua-dua tertuduh tidak disokong dengan keterangan saksi pembelaan lain, mahkamah berpuas hati pembelaan berjaya menimbulkan keraguan yang munasabah terhadap kes pendakwaan," katanya.

Pendakwaan dikendalikan timbalan pendakwa raya dari Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohammed Heikal Ismail sementara Dr Kunaseegaran dan Yazid diwakili peguam Datuk Geethan Ram Vincent.

- Bernama

Lihat Komen
ADS