Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hukum Islam wajib dipatuhi, kata mufti
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 12:35 PM
Dikemaskini: 4:39 AM

Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dilaporkan kecewa dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang memutuskan bahawa anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa dan fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

“Hukum Islam tetap hukum Islam, ia wajib dipatuhi seluruh umat Islam, sekalipun undang-undang dunia menolaknya.

“Apa yang mahkamah putuskan? Kenapa bertentangan dengan perlembagaan? Dalam fatwa pun dah tetapkan, kenapa mahkamah tak ikut peraturan fatwa?” katanya yang dipetik oleh portal Ismaweb.

Beliau mengulas penghakiman sebulat suara panel tiga hakim mahkamah rayuan dalam keputusan setebal 29 muka surat yang berkata, ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) tidak terikat dengan fatwa dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan dalam menentukan nama bapa pada sijil kelahiran bagi anak orang Islam yang dilahirkan luar nikah.

Menurut mahkamah, bidang kuasa ketua pengarah adalah sivil dan terhad kepada menentukan sama ada ibu bapa kanak-kanak telah memenuhi keperluan berdasarkan Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (BDRA) 1957 yang meliputi anak tidak saf taraf Islam dan bukan Islam.

Mengulas lanjut, Harussani berkata, apa yang diputuskan majlis fatwa adalah selari dengan syariat Islam.

“Islam agama negara, jadi undang-undang Islam perlu diikuti, lebih-lebih lagi apabila kes berkenaan membabitkan orang Islam.

“Satu lagi, macam mana mereka kata tak terikat, sedangkan individu yang terlibat adalah orang Islam?” soalnya.

Turut membidas keputusan berkenaan adalah Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) yang menggesa majlis agama Islam seluruh negara untuk membantu Mahkamah Persekutuan membuat keputusan berkaitan kes ini.

Pengerusinya, Aminuddin Yahaya berkata, penetapan nasab seseorang anak bagi menentukan sama ada sah atau tidak tarafnya bukan bertujuan menghukum anak itu atas dosa yang dilakukan ibu bapanya sekiranya anak itu tidak sah tarafnya.

Sebaliknya kata beliau, tindakan itu bertujuan menjaga kesucian dan keutuhan nasab dan keturunan, yang telah dirumuskan oleh ulama sebagai termasuk salah satu daripada matlamat atau maqasid syariah.

“Keutuhan nasab amat penting untuk dipelihara, kerana akan memberikan implikasi dan kesan yang menjangkau terhadap aspek-aspek hukum syara’ berkenaan pembahagian harta pusaka, perwalian, pernikahan, hukum-hakam berkaitan mahram, dan lain-lain lagi,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Semalam , kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan Mahkamah Rayuan pada 25 Julai lalu.

Lihat Komen
ADS