Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Tak logik, tapi tak terkejut buku G25 haram
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 1:17 PM
Dikemaskini: 5:52 AM

Pengharaman kerajaan ke atas buku G25 dikecam penulisnya yang menganggap ia sebagai mengarut.

Pensyarah undang-undang Universiti Malaya Azmi Sharom juga mempertikaikan mengapa pihak berkuasa tidak menjelaskan bagaimana buku berkenaan dianggap boleh mengcam keselamatan negara.

“Kami cuma mempersoalkan keadaan semasa negara secara kritis. Bagaimana ia boleh menjejaskan keselamatan awam?

"Tak masuk akal, tetapi ia tidak menghairankan jika melihat kepada kerajaan sekarang ini," katanya dipetik FMT semalam.

Buku Breaking the Silence: Voices of Moderation - Islam in a Constitutional Democracy dihasilkan oleh kumpulan 25 tokoh terkemuka Melayu yang membincangkan persoalan Islam dalam demokrasi berperlembagaan.

Malaysiakini semalam melaporkan keputusan berkenaan dibuat atas alasan ia menyentuh kedudukan Islam dalam perlembagaan dan dilihat boleh memudaratkan ketenteraman awam.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Zahid Hamidi pada 14 Jun lalu meluluskan pengharaman berkenaan dan diwartakan semalam.

Buku memuatkan siri beberapa artikel itu disiarkan kali pertama oleh Marshall Cavendish International (Asia) Pte Ltd yang berpangkalan di Singapura pada Disember 2015.

Konsep keadilan, kesamaan

Kata Azmi pengharaman buku berkenaan adalah satu lagi contoh bagaimana kerajaan menekan hak kebebasan bersuara di negara ini.

Seorang lagi penyumbang dalam buku itu Dr Chandra Muzaffar, berkata keputusan pengharaman berkenaan membuktikan kerajaan bimbang terhadap tafsiran agama yang berbeza dan sederhana.

Chandra juga menganggap langkah dibuat kerajaan itu sebagai tidak munasabah.

“Ia himpunan esei bertujuan untuk menunjukkan pemikiran pelampau dan sempit dalam hal berkaitan amalan Islam di negara ini perlu dibanteras secara intelektual.

“Itu tujuan buku berkenaan, dan untuk menunjukkan usaha pelampau mentafsir Islam dengan cara yang sesuai dengan kepentingan kumpulan tertentu,” katanya yang juga pengerusi Yayasan 1Malaysia.

Menurut Chandra buku itu sebenarnya mendukung prinsip asas Perlembagaan Persekutuan.

"Tidak munasabah mengharamkan buku seperti ini.

"Pengharamkan ini cubaan untuk mengekang pemikiran seimbang, rasional dal terbuka dalam perkara berkaitan dengan amalan Islam di Malaysia,” katanya.

Beliau yang sebelum ini pernah menjadi pemimpin PKR menyumbang sebuah tulisan bertajuk “Keadilan dan Kesamaan dalam Islam”.

"Ia berdasarkan konsep keadilan dan kesamaan dalam istilah sejagat. Ia tidak berkaitan dengan Malaysia,” katanya.

Selain Azmi dan Chandra, penyumbang lain dalam buku itu ialah Lim Heng Seng, Dr Maszlee Malik, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim, Dr Shad Saleem Faruqi dan Dr Syed Farid Alatas.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS