Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Friends of BN': Ramai dah lupa hadiah Dr M kepada Anwar
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 1:21 PM
Dikemaskini: 5:26 AM

Tun Dr Mahathir Mohamad mungkin adalah antara pemimpin paling dibenci dalam politik Malaysia di kalangan anggota parti politik pembangkang, penyokong mereka, dan masyarakat sivil.

Namun, hari ini, beliau dianggap wira dan menjadi harapan kepada parti-parti pembangkang serta diangkat menjadi ketua gabungan Pakatan Harapan.

Sebagaimana "dosa-dosa" Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika bersama Umno diampun dan dilupakan, Dr Mahathir juga diterima dengan tangan terbuka setelah berpaling tadah.

Ini kerana, menurut pemimpin Pakatan Harapan dan penyokongnya, kehadiran Mahathir adalah faktor penting dalam kempen mereka untuk menumbangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan BN.

Namun, bagi yang menentang kepimpinan Mahathir, ini adalah pendirian hipokrit.

Dalam pada itu, pemimpin Umno dan BN sentiasa mengingatkan pembangkang akan tindakan Mahathir pada masa lampau, seperti Operasi Lalang dan pemecatan Anwar.

Pagi ini, halaman 'Facebook Friends of BN' memaparkan gambar Anwar dengan mata hitam.

“Nampaknya ramai yang dah lupa hadiah yang diberikan Tun Dr Mahathir bin Mohamad kepada Anwar Ibrahim dulu. Admin cuma nak ingatkan kepada mereka jasa baik Tun kepada Anwar,” petik tajuk gambar itu.

Selepas pemecatannya sebagai timbalan perdana menteri pada 2 Sept 1998, Anwar ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada 20 September selepas mendalangi beberapa siri demonstrasi jalanan menentang Mahathir.

Sembilan hari kemudian, Anwar dihadapkan ke mahkamah.

Sekeping gambar memaparkan dirinya turun dari kenderaan polis dengan mengangkat tangannya serta bermata lembam menjadi simbol pergerakan reformasi.

Berikutan itu, Mahathir mendakwa bahawa kecederaan Anwar mungkin dilakukannya sendiri untuk mendapatkan simpati rakyat.

Bagaimanapun, siasatan kemudian mendapati bahawa Anwar ditumbuk oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Rahim Noor.

Anwar menuduh Mahathir dan sekutunya merekayasa pertuduhan salah laku seksual dan penyalahgunaan kuasa terhadapnya.

Sejak itu, kedua-dua mereka telah bersetuju untuk bekerjasama menghadapi pilihan raya umum akan datang, tetapi Mahathir terus mempertahankan tindakannya terhadap Anwar pada tahun 1998.

Anwar sedang menjalani hukuman penjara lima tahun untuk pertuduhan liwat lain, yang juga didakwanya sebagai rekayasa oleh saingan politiknya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS