Paling Popular
Terkini

Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) akan memohon sebagai pencelah apabila kes Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) berhubung anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa dibawa ke Mahkamah Persekutuan.

Presidennya, Musa Awang berkata, kes membabitkan anak tidak sah taraf itu adalah isu serius kerana ia membawa kesan kepada keturunan umat Islam.

“Sekarang ini dalam kes rayuan mahkamah persekutuan, kita akan buat permohonan mencelah. masukkan kesatuan sebagai pihak pencelah,” katanya pada sidang media di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan di Jalan Duta, Kuala Lumpur, hari ini.

Musa berkata, keputusan Mahkamah Rayuan itu bakal menyebabkan umat Islam di masa hadapan tidak ada ketentuan dari segi nasab.

"Kalau bapanya bukan bapa sah dari segi syarak dan anaknya itu anak perempuan. Sewaktu pernikahan anak itu kemungkinan besar perkahwinan itu tidak sah jika bapa tidak sah ini menjadi wali.

"Pernikahan hanya boleh diwalikan oleh bapa yang sah dari segi syarak. Itu baru peringkat anak perempuannya mahu bernikah, belum lagi ke peringkat cucu," katanya.

Semalam kerajaan dan Jabatan Pendaftaran Negara memfailkan permohonan untuk kebenaran merayu daripada Mahkamah Persekutuan berhubung keputusan penting Mahkamah Rayuan bahawa anak yang dilahirkan di luar nikah boleh bin nama bapa.

Mahkamah Rayuan juga memutuskan bahawa fatwa mengenainya oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan tidak mempunyai kuasa undang-undang.

Sebelum ini, Mahkamah Rayuan berkata JPN bertindak di luar kuasanya apabila ia mengenakan nama bapa “Abdullah” untuk mendaftarkan anak luar nikah, bertentangan dengan hasrat ibu yang mahu menggunakan nama bapa anaknya.

Dalam keputusan bertulis dua bulan selepas mahkamah membuat keputusan memihak kepada ibu bapa anak itu, mahkamah mempertikaikan amalan mengenakan “bin Abdullah” pada anak luar nikah.

Hakim Datuk Abdul Rahman Sebli, seorang daripada 3 hakim itu, berkata Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (BDRA) tidak membezakan antara kanak-kanak Islam dan bukan Islam.

“Seksyen 13A(2) tidak mengatakan anak Islam tidak sah taraf harus dilayan berbeza dengan anak bukan Islam ketika mendaftarkan nama bapa,” katanya.

Kanak-kanak itu, dilahirkan pada 17 April 2010, iaitu kurang tiga hari sebelum tempoh enam bulan untuk mengesahkan kelahiran anak itu kepada pasangan terbabit, diberi nama bapa “Abdullah” berdasarkan kepada fatwa yang dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada 1981 dan 2003.

JPN menolak permintaan ibu bapa untuk menggunakan nama bapa dalam sijil kelahiran, berdasarkan fatwa 1981.

Menurut fatwa 2003, anak luar nikah (tak sah taraf) tidak boleh dinasabkan kepada bapa anak tersebut atau kepada orang yang mengaku sebagai bapa kepada anak itu.

Bagaimanapun, Abdul Rahman berkata ia bercanggah dengan Seksyen 13A(2) BDRA yang membenarkan bapa kepada anak luar nikah untuk menggunakan namanya sebagai nama bapa kanak-kanak terbabit.

Sementara itu Musa berkata keputusan Mahkamah Rayuan membenarkan nama bapa kandung digunakan untuk anak luar nikah dalam dokumen rasmi akan menyebabkan isu pembahagian harta dituntut Islam menjadi celaru.

"Dari segi wasiat, bapa biologi kepada anak tidak sah taraf tidak boleh mewarisi harta pusaka bukan bapa kandung. Tetapi, jika diletakkan bin atau binti dalam surat beranak, orang yang tidak tahu mungkin akan tinggalkan harta.

"Bila bapa kandung kepada anak tidak sah taraf terima, maka ia berdosa dan ambil hak waris yang lain. Akan berlaku kucar-kacir, jadi sebelum ia berlaku kita mesti elakkan," katanya.

Musa berkata, sudah menjadi stigma masyarakat Melayu hanya menggunakan nama Abdullah untuk anak tidak sah taraf walaupun hakikatnya dibenarkan gunakan nama lain.

"Tidak semestinya nama Abdullah. Boleh juga guna 99 nama Allah. Cumanya kita orang Melayu banyak guna nama itu. Boleh guna nama lain sebenarnya.

"Nama seperti Abdul Razak, Abdul Muiz, Abdul Qayyun boleh digunakan bin atau binti untuk anak tidak sah taraf ini," katanya.

Lihat Komen
ADS