Selepas enam tahun berlalu, Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) masih ternanti-nanti bilakah Akta Profesion Guaman Syarie akan diwujudkan.
Ia bukanlah suatu impian biasa, kerana cadangan mengenai akta itu sebenarnya pernah diucapkan sendiri oleh perdana menteri.
Bagi PGSM, apa yang diperlukan kini ialah Datuk Seri Najib Razak mengusulkan Rang Undang-undang (RUU) Akta Profesion Guaman Syarie di parlimen.
Presiden PGSM Musa Awang berkata pada Najib pernah menekankan keperluan mewujudkan akta berkenaan iaitu pada 1 Julai 2011.
Perdana menteri juga kata Musa memberi jaminan bahawa RUU itu akan digubal secepat mungkin. Najib katanya menyebutkan janji itu ketika merasmikan Persidangan Pegawai Syariah ke-13 dan Konvensyen Peguam Syarie kedua.
“Setelah lebih enam tahun daripada tarikh janji yang dibuat oleh perdana menteri, RUU Akta Profesion Guaman Syarie masih tidak pasti di mana kedudukannya, tidak diketahui ke mana hala tujunya dan masih belum menampakkan ruang atau ura-ura untuk dibentangkan di parlimen," katanya di sidang media di bangunan Mahkamah Syariah Kuala Lumpur hari ini.
Setiap negeri ada beza
Sebagai persatuan yang menaungi peguam syarie di negara ini, dan mendapat sokongan persatuan-persatuan peguam syarie negeri, PGSM secara tegas mendesak perdana menteri mengotakan janjinya.
PGSM turut menggesa kerajaan - melalui dewan undangan negeri masing-masing - mengemukakan dan meluluskan usul di untuk menggesa kerajaan pusat menggubal undang-undang syariah seragam di seluruh Malaysia berdasarkan perkara 76 (1) Perlembagaan Persekutuan.
Kata Musa, PGSM sudah mengumpulkan tanda tangan sebahagian besar peguam syarie di negara ini dan mendapat mandat untuk mengusahakan supaya RUU tersebut diwujudkan.
Katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom telah memberi sokongan terhadap RUU itu sehingga draf Akta Profesional Guaman Syarie (APGS) telah disiapkan pada Mac 2012.
Selain itu katanya, pada Ogos 2014 perkara itu telah dipanjangkan kepada Jabatan Peguam Negara dan pihaknya mendapat maklum balas, APGS boleh direalisasikan melalui peruntukan Perkara 76 (1), Perlembagaan Persekutuan.
Sementara itu Musa berkata, RUU itu merupakan kehendak seluruh peguam syarie bagi memperbaiki kelemahan yang wujud serta menjamin profesion peguam syarie di negara ini.
“Banyak isu peguam syarie yang tidak selaras.
"Contohnya setiap negeri mempunyai kaedah masing-masing. Kita ada 14 negeri, maka ada banyak perbezaan dari segi kelayakan berbeza, tata cara, kadar dan seumpamanya.
“Kami berpendapat perlu ada undang-undang bagi mengawal etika dan disiplin peguam syraie ini secara persekutuan,” katanya.
Selain itu, Musa berkata, ada banyak peguam tidak bertauliah - yang digelarnya sebagai "ulat" - dalam bidang undang-undang syariah sedang menawarkan perkhidmatan guaman kepada orang awam.
“Dengan adanya undang-undang ini, ulat-ulat terbabit boleh dibanteras dan orang awam tidak mendapat nasihat yang salah,” katanya.
