Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Bukan norma Komanwel tolak kebenaran cabar budi bicara AG’
Diterbitkan:  Jul 28, 2017 4:11 PM
Dikemaskini: 10:11 AM

Keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini menolak permohonan tiga pihak untuk mencabar keputusan Peguam Negara kerana tidak mengambil tindakan terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak tidak selaras dengan norma di negara-negara Komanwel.

Malah, kata bekas presiden Badan Peguam Malaysia Steven Thiru, beberapa negara Komanwel, seperti Singapura dan United Kingdom, menyatakan budi bicara pendakwa raya (AG) boleh disemak oleh mahkamah.

Thiru adalah presiden Badan Peguam apabila permohonan semakan kehakiman itu difailkan ke atas Peguam Negara Tan Sri Mohamad Apandi Ali.

Beliau berkata perlembagaan Singapura adalah sama dengan Artikel 145 (3) Perlembagaan Persekutuan Malaysia, di mana Mahkamah Rayuan republik itu memutuskan bahawa budi bicara pendakwa boleh disemak semula jika ia didapati melampaui batas.

Menurutnya, Badan Peguam cuba memujuk Mahkamah Persekutuan daripada penolakan itu dengan menyoroti perkembangan terbaru berhubung apa yang berlaku di negara-negara Komanwel.

Dalam kes ini, beliau berkata, Badan Peguam mendapati ada tuduhan serius bahawa AG telah melampaui kuasanya dalam membuat keputusan pada sidang akhbar Januari tahun lalu.

Presiden Badan Peguam, George Varghese juga meluahkan kekecewaannya dengan keputusan hari ini.

Terdahulu pagi tadi, Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif menolak permohonan bekas Naib Ketua Umno Bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim dan Bar Malaysia (Badan Peguam Malaysia ) untuk mencabar keputusan Apandi. [Baca berita penuh]

Sementara itu, Bernama melaporkan Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan keputusan Peguam Negara (AG) untuk menggunakan budi bicaranya seperti diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Md Raus Sharif yang mempengerusikan panel tiga hakim,membuat keputusan itu semasa menolak permohonan kebenaran untuk merayu dikemukakan Badan Peguam Malaysia dan dua yang lain untuk mencabar keputusan AG berhubung pemberhentian penyiasatan berkaitan sumbangan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaun Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Merujuk kepada Perkara 145 (3) perlembagaan mengenai kuasa AGu itu untuk memulakan pendakwaan, beliau berkata ia bukan sahaja undang-undang yang baik tetapi juga dasar yang baik.

"Bagi kami, semua soalan diajukan oleh ketiga-tiga pemohon bertumpu pada isu utama iaitu sama adatindakan Peguam Negara untuk menggunakan kuasanya di bawah Perkara 145 (3) adalah wajar,” katanya dan menurutnya isu itu diselesaikan mengikut diselesaikan mengikut undang-undang.

Turut bersidang dalam panel itu ialah Hakim Besar Malaya Tan Sri Ahmad Maarop dan Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Azahar Mohamed.

Badan Peguam Malaysia, bekas Menteri Undang-Undang Datuk Zaid Ibrahim dan bekas naib ketua Umno bahagian Batu Kawan, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan memohon kepada Mahkamah Persekutuan bagi kebenaran merayu terhadap keputusan mahkamah rayuan dan nmahkamah tinggi yang tidak memberikan kebenaran kepada mereka untuk memulakan semakan kehakiman.

Ketiga-tiga mereka, antara lain memohon untuk membatalkan keputusan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali yang membersihkan perdana menteri daripada sebarang salah laku berkaitan RM2.6 bilion yang didepositkan ke dalam akaunnya.

Terdahulu pada awal prosiding hari ini, Raus turut menolak permohonan ketiga-tiga mereka untuk beliau menarik diri daripada mendengar perkara itu hari ini.

"Saya tidak fikir yang saya patut tarik diri hanya berdasarkan permohonan ini. Tiada sebarang merit untuk saya menarik diri," katanya semasa menolak permohonan itu.

Raus berkata beliau memberi jaminan kepada pemohon bahawa sebarang keputusan yang dibuat adalah berdasarkan fakta dikemukakan di mahkamah dan undang-undang.

Peguam bagi pihak Badan Peguam Malaysia, Tommy Thomas, memohon Raus menarik diri kerana menurutnya anak guamnya akan memulakan prosiding undang-undang terhadap Raus berhubung pelantikan semulanya sebagai ketua hakim negara selepas bersara wajib, daripada aspek perlembagaan.

Peguam Kanan Persekutuan Datuk Amarjeet Singh berkata Peguam Negara dalam kenyataan akhbarnya menyatakan beliau telah menerima tiga kertas siasatan daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan beliau telah meneliti kertas berkenaan, dan menurutnya AG membuat keputusan itu berdasarkan fakta dikemukakan dalam kertas siasatan oleh agensi yang dipertanggungjawabkan oleh Parlimen.

Peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram mewakili Zaid dan peguam Mohamed Haniff Khatri Abdulla bagi pihak Khairuddin.

Di luar mahkamah, bekas Presiden Badan Peguam Malaysia Steven Thiru berkata oleh keranamahkamah menolak permohonan bagi kebenaran merayu itu, Mahkamah Persekutuan telah terlepas peluang untuk menyemak undang-undang kes lama berkaitan Perkara 145 (3) dan untuk mengetengahkan perkembangan terbaru kes undang-undang diputuskan oleh negara-negara Komanwel.

 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS