GLOBAL Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayut Chan-o-cha berkata, pembekuan aset bekas Perdana Menteri Yingluck Shinawatra dilaksanakan mengikut undang-undang, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Kenyataan beliau, dikeluarkan di tengah-tengah kebimbangan berlakunya konfrontasi politik menjelang keputusan kes rasuah Yingluck pada 25 Ogos.
Pada masa sama bekas perdana menteri itu, menyeru penyokongnya untuk memberikannya "semangat" selepas asetnya dibekukan.
Jabatan Pelaksanaan Undang-Undang, membekukan sementara 37 harta dan beberapa akaun bank sebagaimana ditetapkan resolusi jawatankuasa liabiliti sivil.
Jawatankuasa berkenaan mendapati Yingluck bertanggungjawab membayar 35 bilion baht (AS$1.04 bilion) sebagai ganti rugi kepada negara, di atas kerugian besar skim jaminan padi sebanyak 500 bilion Baht (US$14.97 bilion) semasa pentadbiran beliau.
Yingluck juga berdepan tuduhan jenayah iaitu cuai dalam tugas rasminya ketika melaksanakan skim padi beras yang mengakibatkan berlakunya rasuah dan kerugian besar kepada negara.
Keputusan Mahkamah Tinggi dijadula pada 25 Ogos.
Prayut berkata, Yingluck boleh memohon kepada mahkamah untuk menangguhkan penyitaan aset itu.
- Bernama
